Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) dilaporkan bersetuju mengubah peraturan ofsaid seperti yang dicadangkan Arsene Wenger.
Bekas pengendali Arsenal itu bertugas sebagai Ketua Pembangunan Bolasepak Global FIFA selepas meninggalkan Arsenal pada tahun 2018.
Wenger kini bakal membuat perubahan besar dalam peraturan ofsaid dengan FIFA akan mula mencubanya dalam beberapa perlawanan di Belanda, Itali dan Switzerland.
Peraturan ofsaid ketika ini menyatakan – seseoran pemain berada dalam kedudukan ofsaid sekiranya sebahagian daripada badannya – yang boleh menjaringkan gol – berada di depan pertahanan terakhir ketika bola dimainkan.
Namun Wenger mencadangkan seseorang hanya akan berada dalam kedudukan ofsaid sekiranya seluruh badan pemain itu melebihi pertahanan terakhir.
Jika tempoh percubaannya berhasil, ia akan diubah sepenuhnya dalam semua perlawanan.Perubahan itu mendapat reaksi berbeza peminat bola sepak.
“Bagus, ofsaid adalah peraturan yang menyusahkan. Ia mengganggu permainan yang menarik,” kata salah seorang peminat.
“Ia adalah perubahan yang hebat, lebih banyak gol = lebih menarik,” kata seorang lagi.
“Ia berpotensi menghasilkan lebih banyak jaringan, sekali gus mengelak berlakunya ofsaid yang kontroversi,” kata salah seorang penyokong keputusan FIFA itu.
Bagaimanapun antara yang tidak bersetuju berkata: “Jadi kita bertukar dari sebahagian anggota berada dalam kedudukan ofsaid kepada ini? Kenapa rosakkan sukan ini?”
“Saya tidak suka dengan perubahan ini, penyerang boleh berada dalam kedudukan ofsaid dan hanya meletakkan hujung kasutnya di depan pemain, dan sekelip mata boleh berlari menjaringkan gol,” kata peminat yang lain yang tidak bersetuju.
sumber:- BH
“FIFA mencari cara baharu untuk menjadikan ofsaid lebih teruk, kagum dengan mereka,” kata seorang lagi. – AGENSI