Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FA Thailand) mengumumkan peletakan jawatannya selepas menerima tekanan politik susulan insiden pergaduhan antara pasukan kebangsaan dan Indonesia semasa perlawanan akhir Sukan Sea Kemboja.
Indonesia menewaskan Thailand 5-2 pada masa tambahan Mei lalu, yang menyaksikan pemain dan jurulatih kedua-dua pihak bergaduh dua kali dengan empat kad merah dilayangkan.
Persatuan Bolasepak Thailand kemudiannya memohon maaf dan mengenakan hukuman penggantungan berat kepada dua pemain, dua pegawai dan seorang jurulatih.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Somyot Poompanmoung berkata, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon, yang turut mengetuai jawatankuasa Olimpik kebangsaan negara itu, mengarahkan beliau berundur sebagai presiden pada mesyuarat semalam.
“Sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Thailand, saya bersedia untuk mengikut arahan Jeneral Prawit,” kata Somyot dalam kenyataan hari ini, sambil menambah beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan badan induk antarabangsa Fifa
Acara bola sepak lelaki pada temasya dwitahunan itu adalah membabitkan pasukan bawah 23 tahun.
Perlawanan akhir itu dianggap sebagai peluang bagi Indonesia untuk mengembalikan maruah mereka selepas insiden stadium yang meragut banayak nyawa dan kehilangan penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun.
Bagaimanapun perlawanan itu akan dikenang dengan insiden kekecohan serta pergaduhan bermula pada minit ke-97 apabila Thailand yang sudah ketinggalan 0-2, menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-2 sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
sumber:- HM
Pegawai Thailand meraikan gol penyamaan itu dengan berlari ke bangku simpanan Indonesia sekali gus mencetuskan pergaduhan kali pertama, dan lebih banyak insiden tegang berlaku apabila Indonesia mendahului semula ketika masa tambahan.