sukan

Reaksi Pengendali JDT cipta sejarah terbaik JDT

Selepas layak ke pentas final Piala FA dua musim berturut-turut selain kekal mendominasi tangga teratas Liga Super, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari enggan mendabik dada dengan pencapaian terbaik skuad Harimau Selatan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sebaliknya pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan dalam permainan bola sepak kerap ada rintangan yang sememangnya sukar diduga dan untuk mengekalkan momentum yang konsisten dalam setiap perlawanan yang diharungi tampak perlu kesabaran dan tidak boleh terlalu yakin sebaliknya kerjasama berpasukan amat di titik berat.

Jelas bekas pembantu Bawah 23 tahun Argentina itu, apa yang ada di dalam skuad JDT amat luar biasa kerana setiap pemain pasukan itu memiliki karektor yang sentiasa dahagakan keinginan untuk berada dalam kesebelasan utama dan latihan berintensiti tinggi juga membentuk kematangan setiap pemain.

“Kami enggan terlalu bermegah dengan pencapaian yang dikecapi sekarang kerana perjalanan liga masih jauh dan penuh dengan ranjau yang berliku dan tugas utama lebih terarah membentuk barisan pemain yang lebih hebat dan tidak statik dengan pencapaian yang dinikmati sekarang.

“Sememangnya agak sukar untuk mengekalkan intensiti permainan tatkala perlu mengharungi jadual perlawanan yang panjang dan kini kami sudah mengharungi tempoh enam bulan beraksi dalam kancah Liga M tapi saya kagum apabila sesuatu yang pemain saya lakukan cukup memuaskan.

“Ada ketika mereka mampu menterjemahkan peluang dengan jaringan tapi ada juga terlepas menjaringkan gol walaupun berada di posisi yang terbaik namun pada penghujungnya mempertahankan idea bola sepak yang sama iaitu sentiasa mengamalkan corak permainan ofensif,” katanya.

Solari menegaskan penekanan dalam permainan JDT ofensif memfokus pemain supaya mendominasi permainan dan mengawal rentak supaya tidak terikut-ikut dengan taktikal pasukan lawan supaya mengelak daripada dibolosi.

Katanya, banyak perkara perlu diperkatakan mengenai bola sepak kerana bukan mudah untuk membentuk skuad yang mantap sebaliknya perlu sentiasa fokus dalam permainan tatkala perlu berhadapan dengan bola umpanan lintang dari posisi sayap kiri dan kanan selain set-piece pasukan lawan yang mengundang situasi berbahaya.

sumber:- HM

“Pemain JDT perlu peka dan waspada dengan ancaman serangan berbahaya pasukan lawan dan apa yang boleh dirumuskan mereka tampak begitu konsisten dalam setiap aksi yang diharungi dan kami akan berusaha untuk jadi lebih baik dan kami sentiasa belajar kerana dalam bola sepak tidak wujud kepuasan,” kata Solari.