sukan

Peminat wasiat harta secara sah kepada Neymar

Menyerahkan semua yang anda miliki kepada pemain bola sepak jutawan bukanlah satu idea yang baik tetapi seorang peminat Brazil tidak dapat memikirkan penerima yang lebih layak untuk mewarisi hartanya selain Neymar Jr.

Peminat yang enggan didedahkan identitinya itu berkata, disebabkan kecintaannya terhadap pasukan kebangsaan dan legasi bola sepak Brazil, beliau mengenal pasti Neymar dan menamakan penyerang Brazil itu secara rasmi dalam wasiatnya.

“Saya sukakan Neymar, saya amat mengenalinya. Saya juga terseksa dengan fitnah, saya juga amat mementingkan keluarga dan hubungan dengan bapanya mengingatkan saya kepada bapa saya sendiri, yang sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu wawancara bersama media tempatan Metropoles.

“Kesihatan saya tidak baik dan saya tidak mempunyai sesiapa untuk mewasiatkan harta saya… Saya tidak mahu kerajaan atau saudara mara yang saya tidak suka mengambil barangan saya.”

Warga berusia 30 tahun itu berkata, beliau pernah gagal untuk memberikan asetnya kepada pemain antarabangsa Brazil itu sebelum ini, tetapi wasiat itu adalah cara yang sah untuk berbuat demikian dan dokumen itu ditandatangani oleh pejabat notari di Porto Alegre.

Neymar, yang beraksi dengan Paris Saint-Germain adalah salah seorang ahli sukan menerima gaji paling tinggi di dunia dengan anggaran pendapatan AS$85 juta (RM396 juta) bagi 2023, menurut Forbes.”Saya tahu dia tidak tamak, sesuatu yang jarang berlaku pada masa ini,” kata peminat itu. – REUTERS