sukan

Indonesia mahukan Ronaldo Pula

Selepas berjaya membawa Argentina meskipun tanpa kehadiran Lionel Messi beraksi di Jakarta, kini Indonesia terus bercita-cita besar untuk berentap dengan pasukan ternama dunia.

Bayangan itu disuarakan Wakil Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Zainudin Amali yang menyatakan skuad ‘Garuda’ berhasrat untuk menentang Portugal pada jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas ini.

Menerusi laporan Goal Indonesia, PSSI sudah pun mencuba menghubungi Persekutuan Bolasepak Portugal bagi menyatakan hasrat terbabit.

“Kita ada lapan kali kalendar FIFA dalam tempoh setahun. Jadi secara minimumnya, Erik Thohir akan cuba mengisinya dengan satu pasukan dengan tahap seperti Argentina.

“Kami sedang mempertimbangkan untuk membawa Portugal,” kata Zainudin.

Dalam masa sama, PSSI turut menaruh harapan supaya dapat melihat bintang terkemuka pasukan itu, Cristiano Ronaldo dapat beraksi menentang pasukan Indonesia.

“Kami sudah berkomunikasi dengan Duta Besar Indonesia di Portugal, cuma jangan sampai Ronaldo sudah bersara,” katanya.

sumber:- BH

Selain itu, beberapa negara lain turut dipertimbangkan seperti Brazil, Sepanyol dan Maghribi namun Zainudin mengakui agak sukar untuk mencari tarikh perlawanan yang sesuai. -AGENSI