sukan

Gaji Riyad Mahrez tidak masuk akal

Riyad Mahrez akan menjadi sasaran berikutnya Al-Ahli jika kelab Arab Saudi itu berjaya melengkapkan perjanjian untuk membawa Roberto Firmino dan Edouard Mendy ke negara Teluk.

Penjaga gol Mendy sedia menjadi pemain terbaharu Chelsea untuk beralih ke Liga Pro Saudi – mengikut jejak langkah N’Golo Kante and Kalidou Koulibaly – manakala Firmino akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Al-Ahli selepas meninggalkan Liverpool sebagai ejen bebas.

Bintang Manchester City, Mahrez berada dalam senarai berikutnya dan dia ditawarkan £43 juta (RM255 juta) setahun termasuk bayaran bonus bagi kontrak dua tahun.

Difahamkan Mahrez, yang kini bercuti di selatan Perancis, berminat untuk menamatkan kariernya di Arab Saudi.

Dia akan berusia 33 tahun pada Februari depan dan tawaran Al-Ahli lima kali ganda berbanding lanjutan kontrak bernilai £8.5 juta (RM50.5 juta) ditandatanganinya di City pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, Mahrez dikatakan tidak pasti sama ada mahu meninggalkan City pada musim panas ini sesudah meraih tiga trofi di bawah kendalian Pep Guardiola.

Pemain sayap Algeria itu dikatakan kecewa kerana kurang beraksi menjelang hujung musim lalu apabila dia hanya bertindak sebagai pemain gantian tetapi tidak diturunkan pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Turut menjadi persoalan sama ada City boleh membenarkan Mahrez – yang mempunyai kontrak hingga 2025 – mengikut jejak langkah ejen bebas Ilkay Gundogan meninggalkan Etihad dengan Bernardo Silva turut menarik minat Al-Hilal.

Al-Ahli kembali beraksi dalam liga utama Arab Saudi selepas tersingkir secara mengejut dan salah satu daripada empat kelab asas – termasuk Al-Nassr, Al-Hilal dan Al-Ittihad – yang diambil alih awal bulan ini oleh Dana Pelaburan Awam negara itu yang juga memiliki Newcastle United. – AGENSI