Manchester United sedia mendengar tawaran untuk 13 pemainnya pada musim panas ini dengan harapan dapat mengumpul sebanyak £100 juta (RM595.3 juta) bagi membeli pemain baharu.
Mail Sport mendedahkan United sedia melepaskan pemain berstatus bintang seperti Jadon Sancho, Harry Maguire dan Anthony Martial untuk membolehkan pengurus, Erik ten Hag lebih kuasa berbelanja dalam pasaran perpindahan pemain.
Bajet Ten Hag dipotong kepada kira-kira £120 juta (RM714.4 juta) kerana peraturan ‘fair play’ kewangan ketika beliau berhasrat untuk menandatangani pemain tengah, penyerang dan penjaga gol.
Ia adalah salah satu sebab mengapa United enggan tunduk kepada permintaan Chelsea untuk mendapatkan Mason Mount pada harga £65 juta (RM387 juta) dalam usaha menjimatkan wang sebanyak mungkin.
Pencarian untuk penyerang juga menemui kesukaran berikutan harga yang tinggi diletakkan untuk pemain seperti bintang Tottenham, Harry Kane; Victor Osimhen dari Napoli dan Rasmus Hojlund dari Atalanta.
United juga sudah mengadakan perbincangan dengan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana yang akan menelan kos sekitar £40 juta (238,1 juta).
United berharap dapat menjual sebahagian daripada skuad semasa dan akan mengumpul sekurang-kurangnya £50 juta (RM297.7 juta) serta mungkin juga £100 juta (RM595.3 juta) untuk melabur semula.
Namun difahamkan tiada paksaan untuk 13 pemain itu meninggalkan United termasuklah Sancho, Martial, Maguire serta Scott McTominay dan mereka diberi peluang bersaing untuk mendapatkan tempat masing-masing dalam pasukan.
Jika mana-mana salah satu daripada empat pemain itu meninggalkan Old Trafford, ia akan menyukarkan kelab untuk mencari pengganti sebelum permulaan musim baharu.
United akan mendengar tawaran sekitar £45 juta (RM267.9 juta) untuk Sancho yang bergelut dengan prestasi sejak tiba dari Borussia Dortmund dengan harga £73 juta (RM434.7 juta) dua tahun lalu.
sumber:- HM
Maguire yang dibeli dengan harga £80 juta (RM476.4 juta) dari Leicester pada 2019, akan dibenarkan meninggalkan kelab jika United menerima tawaran sekitar £40 juta (RM238.2 juta).