Tonggak veteran Real Madrid, Luka Modric akan kekal di kelab itu untuk semusim lagi selepas memperbaharui kontraknya sehingga Jun 2024, umum kelab Sepanyol itu hari ini.
Modric, 37, terus menjadi pemain utama untuk Madrid walaupun menarik minat dari Arab Saudi yang mahu memikatnya menjelang kontraknya yang tamat bulan ini.
Pemain Croatia itu mengikut jejak Toni Kroos, Dani Ceballos dan Nacho Fernandez yang melanjutkan kontrak di Madrid pada musim panas.
“Sepanjang 11 musim bersama kami, dia beraksi 488 perlawanan dan meraih 23 trofi,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan.
Modric menjulang trofi Liga Juara-Juara lima kali bersama Madrid sejak menyertainya dari Tottenham pada 2012 selain tiga gelaran La Liga dan dua Copa del Rey.
Modric dan Croatia menduduki tangga kedua di Liga Negara-Negara dan masih belum mengumumkan sama ada mahu bersara daripada bola sepak antarabangsa atau terus beraksi sehingga Kejohanan Eropah 2024. – AFP