Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid mencapai persetujuan untuk perjanjian bernilai 300 juta euro (RM1.5 bilion) bagi penjualan Kylian Mbappe, lapor portal berita eksklusif, PSG Community.
Nilai itu bakal memecah rekod perpindahan dunia, malah media Perancis melaporkan satu pertemuan telah diadakan antara pemilik PSG dari Qatar dengan wakil Real, Sabtu lalu.
Pemilik PSG, Tamim bin Hamad Al Than dan Presiden Real Madrid, Florentino Perez telah bertukar-tukar mesej dalam beberapa jam terakhir bagi mencapai persetujuan.
Menurut PSG Community, penjualan penyerang Perancis itu akan mencecah 250 juta euro (RM1.2 bilion) dan 50 juta euro (RM255 juta) lagi bonus berkaitan jumlah perlawanan yang akan dimainkan pemain berusia 24 tahun itu untuk Real.
Perpindahan Mbappe dari PSG ke Real juga dijangka mampu menaikkan peluangnya untuk memenangi anugerah berprestij Ballon d’Or.
Jika laporan itu tepat dan perjanjian diteruskan, Real akan memecah rekod perpindahan dunia memilik Neymar bernilai 222 juta euro (RM1.135 bilion) ketika berpindah dari Barcelona ke PSG pada 2017.
Legenda Argentina, Lionel Messi sebelum ini menggalakkan bekas rakan sepasukannya, Mbappe meninggalkan PSG jika mahu meraih pencapaian lebih tinggi.
“Saya lebih suka anda pergi ke Barcelona tetapi jika anda mahu ke Madrid, lakukannya segera. Anda layak mendapat ‘projek kemenangan’ sebenar,” kata Messi.
Mbappe menyertai PSG secara pinjaman dari Monaco pada 2017 sebelum mengikat perjanjian tetap 145 juta euro (RM741 juta) serta 35 juta euro (RM179 juta) sebagai tambahan setahun kemudian.
Kini, Real pula bersedia membayar wang dengan nilai luar biasa memandangkan Mbappe hanya akan menjadi ejen percuma pada 2024.
Pemenang Piala Dunia Russia 2018 itu hampir menyertai Los Blancos pada 2022 apabila tempohnya di Parc des Princes tamat, namun dia
sumber:- HM
melakukan pusingan U secara dramatik dan dilanjutkan bersama PSG sehingga 2024. – AGENSI