sukan

Rahsia Korea Selatan ada dalam kocek Kim Pan-gon

Ketika ramai pihak meramalkan skuad Harimau Malaya bakal dibelasah Korea Selatan dalam saingan Piala Asia di Qatar, tahun depan, sebenarnya pasukan negara mampu mengekang jaguh Asia itu nanti.

Mungkin untuk menang agak sukar, namun keputusan seri dilihat tidak mustahil untuk diraih apabila berdepan Korea Selatan dalam Kumpulan E itu nanti.

Di atas kertas, skuad Taegeuk Warriors yang menghuni ranking ke-27 dunia itu memiliki segala-galanya untuk menewaskan Malaysia, namun perlu diingatkan, rahsia kekuatan Korea Selatan sebenarnya berada dalam kocek pengendali negara, Kim Pan-gon.

Berdasarkan rekod, sebelum Pan-gon menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku ketua jurulatih dan pengurus pasukan kebangsaan, beliau adalah Ketua Jawatankuasa Penyeliaan Pasukan Kebangsaan Korea Selatan dari 2017 hingga tahun lalu.

Sepanjang lima tahun memikul tanggungjawab itu, Pan-gon diberi amanah untuk merancang pembangunan bola sepak di negara itu termasuk soal pemilihan jurulatih kebangsaan Korea Selatan dan pengurusan serta hala tuju jangka panjang.

Kemuncaknya, beliau membawa negaranya beraksi di Piala Dunia Rusia 2018 apabila sebahagian besar pemain dan kejurulatihan adalah di bawah kelolaannya sebelum ini.

Lantas, sudah pasti Pan-gon mempunyai 1,001 satu rahsia dan formula mengenai cara untuk menyekat Korea Selatan yang bakal menjadi lawan Malaysia di peringkat kumpulan itu nanti.

Selain Korea Selatan, skuad Harimau Malaya akan berdepan Jordan dan Bahrain dalam kumpulan berkenaan.

Malah, dengan peningkatan mendadak prestasi skuad negara di pentas antarabangsa kebelakangan ini, tidak mustahil kejutan boleh berlaku di Piala Asia nanti.

sumber:- HM

Malaysia layak ke pusingan akhir itu selepas muncul lima naib juara terbaik pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia pada Jun lalu, sekali gus menamatkan badi 43 tahun selepas kali terakhir beraksi pada 1980 di Kuwait.