Kempen berbelanja sakan kelab Liga Pro Saudi bakal mengancam dan mengubah landskap bola sepak dunia.Bintang tengah Chelsea, N’Golo Kante menjadi pemain berprofil tinggi terbaharu berpindah dari Eropah ke Asia Barat, mengikut jejak Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema selepas menerima tawaran lumayan.
Dengan kelab di Arab Saudi masih boleh mengikat pemain hingga 20 September depan, impaknya terhadap Liga Perdana Inggeris (EPL) akan terus dirasai selama tiga minggu selepas jendela perpindahan EPL ditutup pada 1 September.
Kante menyertai Al-Ittihad, manakala trio Chelsea, Kalidou Koulibaly, Edouard Mendy dan Hakim Ziyech masing-masing dijangka melengkapkan perpindahan ke Al-Hilal, Al-Ahli serta Al-Nassr.
Bintang Wolverhampton, Rubin Neves pula dalam perjalanan ke Al-Hilal.
Situasi itu menyebabkan bekas bintang Liverpool, Jamie Carragher menggesa EPL bertindak segera melakukan sesuatu.
Terbaharu, tonggak Manchester City, Bernardo Silva yang memainkan peranan besar membantu kelab itu memenangi kejuaraan treble dilaporkan sedang mengadakan rundingan untuk menyertai Liga Pro.
Perpindahan Silva akan memberi impak kerana dia ketika ini dianggap salah satu bakat tengah terbaik di Eropah.
“Bernardo Silva berada di kemuncaknya dan telah menjadi salah seorang pemain terbaik di Eropah sejak lima tahun lalu!
“Saya tidak bimbang tentang Liga Saudi mengambil pemain berusia 30-an tetapi jika menarik pemain seperti (Neves) ia memberi kesan,” katanya.
Negara itu telah melakukan pelaburan dalam sukan lain seperti LIV Golf yang menimbulkan kontroversi.
Formula Satu (F1), WWE dan tinju juga ditawarkan dengan sejumlah wang lumayan untuk dianjurkan di negara itu.
“Saudi telah mengambil alih golf, pertarungan tinju dan kini mereka mahu mengambil alih bola sepak!! Ia perlu dihentikan,” kata Carragher.
Perkara sama turut disuarakan bekas bintang Manchester United, Gary Neville yang menyeru EPL untuk menghalang pemain menuju ke Saudi. – AGENSI