sukan

Rakan yang bantu saya jaring gol — Arif Aiman

Penjaring empat gol ketika Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0, Arif Aiman Hanapi tetap merendah diri dengan prestasi bersama pasukan kebangsaan.

Malah Arif Aiman enggan dianggap wira meskipun kemasukannya pada separuh masa kedua mengubah rentak permainan Malaysia yang sebelum itu dilihat tumpul pada babak pertama.

Tegas Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu, tiada ‘resipi’ rahsia untuk aksi cemerlang itu, sebaliknya ia hasil kerjasama berpasukan semua pemain Harimau Malaya.

“Sudah tentu saya sangat berbangga dapat menjaringkan empat gol dalam perlawanan ini namun rakan-sepasukan yang banyak membantu pencapaian tersebut.

“Memang babak pertama nampak sedikit bergelut di depan pintu gol tetapi semua pemain beraksi dengan baik tidak kira kesebelasan utama atau tidak, cuma nasib memihak kami selepas rehat.

“Paling penting adalah saya mahu membaiki aspek kelemahan yang ada untuk terus merebut tempat sebagai persediaan ke Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan,” katanya.

Arif Aiman mengharungi tahun cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak Liga Super selain membentuk gandingan mantap bersama Faisal Abdul Halim dalam kem negara.

Pemain berusia 21 tahun itu membuka akaun jaringan bersama Harimau Malaya ketika mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1, minggu lalu, sebelum meledak empat gol, semalam.

Menurut Arif Aiman, dia bertekad mahu meneruskan rentak bersama JDT dalam baki saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia serta menempatkan diri dalam skuad ke Piala Asia.

“Tiada sebab untuk saya sudah berpuas hati dengan pencapaian ketika ini kerana bukan mudah kekal dalam perancangan jurulatih dengan barisan pemain lebih berpengalaman.

“Selepas ini fokus akan diberikan untuk separuh akhir Piala FA bertemu Selangor pada Isnin dan saya mahu menang perlawanan itu untuk melangkah ke final,” tambahnya.