sukan

‘Harimau import’ cetus persoalan

Ketika kali terakhir skuad kebangsaan membelasah Papua New Guinea 10-1 pada 1976, tiada seorang pun pemain skuad Harimau Malaya ini sudah lahir ke dunia.

Namun 47 tahun kemudian, skuad negara mengulangi pencapaian apabila ‘membaham’ lawan sama 10-0 dalam aksi tanpa belas kasihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Lebih dahsyat, mereka yang hanya mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti pada babak pertama bagaikan ‘dirasuk’ apabila meledak sembilan gol hanya dalam tempoh 45 minit kedua.

Berdasarkan dua aksi ini, beberapa perkara positif dapat dihimpun sebagai ‘bekalan’ menuju ke Piala Asia 2023 dengan tumpuan terarah kepada dua ‘Harimau Import’ iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Gandingan itu mendapat kepercayaan Kim Pan Gon di mana Josue membarisi kesebelasan utama dalam empat aksi bermula Turkmenistan, Hong Kong, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Dos Santos hanya terlepas aksi menentang Hong Kong apabila dilepaskan susulan kecederaan dan melihat kepada situasi ini, dua pemain ini nampaknya bakal menjadi antara tunjang negara di Qatar nanti.

Josue juga tampak sudah selesa dengan peranan baharu sebagai penyerang yang menyaksikan dia meledak empat gol dalam dua aksi kali ini termasuk hatrik menentang Papua New Guinea.

Potensi besar ditunjukkan sebagai penggempur utama dengan bijak menghidu peluang, berada pada tempat yang betul dan kualiti penyudah yang baik.

sumber:- BH

Berdasarkan persembahan terbaiknya, adakah Josue akan terus menjadi pemain ‘nombor sembilan’ negara?