sukan

Messi bakal dapat perjanjian lebih lumayan

Lionel Messi dan Inter Miami sedang memuktamadkan perjanjian lumayan bernilai sehingga AS$150 juta (RM695 juta) untuk membawa pemain bintang itu ke MLS, lapor Sportico.

Jumlah itu termasuk gaji, bonus tandatangan dan ekuiti dalam kelab dan berlangsung sepanjang musim 2025 dengan pilihan bagi 2026, menurut Sportico.

Perjanjian perkongsian hasil bersama Adidas, Apple dan Fanatics, semuanya rakan kongsi MLS, tidak termasuk dalam jumlah awal.

Messi sudah mempunyai perjanjian seumur hidup dengan Adidas, mengikut Forbes.
MLS tidak memberikan subsidi terhadap kontrak itu dan Messi tidak mempunyai pilihan yang sama untuk membeli pasukan MLS seperti diterima David Beckham ketika beliau berpindah ke MLS pada 2007, lapor Sportico.

Beckham kini pemilik bersama Inter Miami.

Messi, yang menyambut ulang tahun ke-36 pada Sabtu ini, adalah bintang juara Piala Dunia 2022 Argentina.

Dia secara rasmi menjadi ejen bebas akhir bulan ini apabila kontraknya bersama Paris Saint-Germain di Perancis tamat.

Messi berkata pada 7 Jun lalu, dia memilih Inter Miami berbanding tawaran lain, termasuk dilaporkan AS$400 juta (RM1.8 bilion) setahun untuk beraksi dengan Al-Hilal di Arab Saudi.

Dia dijangka membuat penampilan sulung bersama Inter Miami pada 21 Julai menentang pasukan Liga MX, Cruz Azul dalam perlawanan Piala Liga di tempat sendiri. – REUTERS