sukan

England menggila di Kelayakan Euro 2024

Bukayo Saka meledak hatrik ketika England membelasah Macedonia Utara 7-0 dalam aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Kumpulan C menerusi kemenangan keempat berturut-turut.

Kapten Harry Kane menjaringkan gol peribadi ke-57 dan 58 untuk negaranya manakala Marcus Rashford serta Kalvin Phillips turut menggegar gawang di Old Trafford dalam perlawanan yang dikuasai sepenuhnya tuan rumah.

“Perasaan sukar digambarkan dengan kata-kata. Tiada apa yang boleh menjelaskannya. Saya cuma sangat gembira,” kata Saka kepada Channel 4.

Pengurus Gareth Southgate mendedahkan Saka masih mampu mempamerkan prestasi hebat walaupun berdepan kecederaan betis.

“Dia mengalaminya sejak beberapa minggu lalu,” kata Southgate dalam sidang media. “Ia kecederaan yang perlu diuruskan sebaik mungkin dan Saka tidak menghiraukannya. Malam ini sangat berbaloi untuknya.”

England semakin hampir mara ke pusingan akhir tahun depan selepas mengumpul 12 mata penuh, menewaskan Ukraine yang berada di tangga kedua dengan enam mata daripada tiga perlawanan serta menewaskan Itali dan Malta.

Gol pertama Saka pada minit ke-38 menerusi rembatan ke penjuru atas gawang disusuli gol kedua selepas rehat hasil rembatan voli kaki kiri.

Saka melengkapkan hatriknya minit ke-51 selepas dia yang mendapat hantaran Kane tenang menolak bola masuk melepasi jangkauan penjaga gol lawan.

Saka yang meninggalkan padang dengan memegang bola selepas tamat perlawanan muncul pemain Arsenal pertama menjaringkan hatrik untuk England dan pemain termuda sejak Theo Walcott pada 2008 ketika menentang Croatia.

“Ia musim sangat panjang dan saya tidak dapat menamatkannya dengan cara terbaik,” kata Saka. “Kini masa untuk berehat. Kami sangat gembira dengan sokongan padu penyokong.”

Kane memulakan pesta gol England minit ke-29 dan bintang Tottenham itu menggandakan jaringannya menerusi penalti babak kedua. Rashford menolak bola masuk hantaran Jordan Henderson sejurus sebelum tamat babak pertama manakala pemain Manchester City, Phillips menjaringkan gol minit ke-64.

sumber:- HM

Perlawanan seterusnya England akan menentang Ukraine pada 9 September manakala Macedonia Utara di tangga keempat menerima kunjungan Itali. Itali pula berada di tangga ketiga meraih tiga mata daripada dua perlawanan.