sukan

Penalti ala Panenka julang Sepanyol

Dani Carvajal menyempurnakan sepakan penalti ala Panenka untuk memastikan Sepanyol muncul juara Liga Negara-Negara hasil kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti ke atas Croatia selepas terikat 0-0, hari ini.

Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon menafikan sepakan Lovro Mayer dan Bruno Petkovic, sebelum Carvajal memastikan kemenangan untuk trofi pertama mereka sejak Euro 2012.

Croatia yang dikendali Zlatko Dalic untuk muncul naib juara Piala Dunia 2018 dan ketiga pada edisi 2022, belum pernah memenangi kejohanan utama dan Liga Negara-Negara adalah peluang terbaik untuk kelompok pemain veterannya termasuk kapten, Luka Modric, yang beraksi untuk kali ke-166 bersama negaranya menamatkan kemarau kejuaraan.

Kemenangan itu menyuntik keyakinan pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente selepas dikritik hebat pada Mac lalu susulan kekalahan di tangan Scotland dalam kelayakan Euro 2024.

Ia turut menebus kekecewaan mereka selepas tewas di final 2021 di tangan Perancis.

“Bagi kami ia adalah peluang unik, kami tersingkir awal dalam satu lagi kejohanan (Piala Dunia Qatar 2022) dan hari ini, kami perlu memanfaatkan peluang itu.

“Kami yakin dengan sepakan penalti dan ia berjalan lancar, saya tahu bagaimana untuk menyempurnakannya dan saya tahu akan menjadi pemain keenam…saya mahu mengambilnya dengan gaya Panenka dan ia berhasil,” kata Carvajal yang juga pertahanan Real Madrid.

Lebih 25,000 penyokong Croatia membanjiri stadium di Rotterdam dengan lautan merah putih.

Mereka melaungkan nama Modric pada minit ke-10, mengikut nombor jersi kaptennya itu, sebagai rayuan supaya dia tidak bersara daripada mewakili negara selepas kejohanan itu berikutan ia menjadi khabar angin yang bertiup kencang ketika ini.

Sepanyol adalah negara kedua memenangi Piala Dunia, Euro dan Liga Negara-Negara selepas Perancis melakukannya pada 2021.

“Kami sangat gembira, ia adalah perlawanan yang sukar. Generasi ini mempunyai potensi dan mental kami sangat kuat.

sumber:- HM

“Masih banyak boleh diperbaiki, tetapi kemenangan ini perlu diraikan,” kata penjaring gol kemenangan Manchester City di final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Rodri, yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan.