Lyndon Dykes dan Kenny McLean menyumbat dua gol lewat ketika Scotland bangkit daripada ketinggalan menerusi penalti Erling Haaland untuk merakam kemenangan 2-1 ke atas Norway pada aksi Kumpulan A kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi.
Dengan Georgia menewaskan Cyprus 2-1 dalam kumpulan lima negara itu, kemenangan itu membantu Scotland melonjak ke tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata, lima mata di depan Georgia manakala Norway di tangga keempat dengan satu mata.
Sekalipun menguasai pegangan bola, Norway bergelut untuk mencipta peluang baik tetapi Haaland, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Manchester City minggu lalu, hadir sebagai penyelamat apabila dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Ryan Porteous.
Penyerang Norway berbadan tegap itu bangkit dan menyempurnakan sepakan penalti dengan tendangan leret ke arah kanan penjaga gol pada minit ke-61 sekali gus menerima sorakan gemuruh di Stadium Ullevaal.
Ketika gol itu dilihat mampu mencetus kemenangan buat pasukannya, Haaland dikeluarkan oleh jurulatih Stale Solbakken pada minit ke-84 tetapi ia ternyata satu kesilapan besar.
Kealpaan pertahanan Leo Skiri Ostigard membolehkan penyerang Dykes meledak masuk gol penyamaan tiga minit sebelum tamat dan dia kemudian melorongkan kepada pemain gantian McLean untuk menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian ketika Scotland meraih kemenangan tidak dijangka serta membuatkan penyokong tuan rumah terdiam.
“Karakter kami untuk bangkit amat mengagumkan. Saya fikir kami masih boleh bertindak lebih bagus dengan bola tetapi tidak kisahlah, kami akan meraikannya sepanjang hari,” kata McLean kepada BBC Scotland.
Kapten Norway, Martin Odegaard bagaikan terkedu dengan kemerosotan pasukannya pada hujung perlawanan.
“Saya tidak mampu menyatakan apa-apa. Ia sukar, tetapi inilah bola sepak kadang-kadang ia kejam,” kata Odegaard kepada TV2 Norway.
sumber:- BH
“Satu-satunya perkara yang kami boleh lakukan adalah memohon maaf, bangkit bersama dan terus berjuang,” katanya. – REUTERS