sukan

England berpesta gol

TRENT Alexander-Arnold memainkan peranan penting ketika bermain di posisi tengah ketika England membelasah Malta 4-0 untuk meneruskan permulaan sempurna mereka pada kempen kelayakan Euro 2024 pada Sabtu.

Pengendali England, Gareth Southgate membuat kejutan apabila meletakkan pertahanan kanan Liverpool, Alexander-Arnold di bahagian tengah dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Ta’Qali.

Alexander-Arnold membalas kepercayaan Southgate dengan membantu mencipta gol pembukaan England sebelum menjaringkan gol antarabangsa keduanya dengan rembatan jarak jauh.

Sepakan penalti Harry Kane membolehkannya mengumpul 56 gol bersama England ketika penjaring gol terbanyak Three Lions itu meraih penampilan ke-50 buat negaranya.

Callum Wilson menyempurnakan tendangan penalti lewat aksi bagi gol keduanya bersama England sekali gus memastikan jurang kemenangan itu tampak tepat menggambarkan dominasi pasukannya.

“Sudah tentu kami tahu kami mempunyai kualiti untuk memenangi perlawanan dan kemudian ia mengenai mentaliti. Saya fikir kami bermula dengan baik sejak awal permainan.

“Dia (Alexander Arnold) menikmati projek itu. Dia teruja dengannya dan dia menunjukkan dengan tepat apa yang kami fikir dia mampu.

“Dia memberi kami sesuatu yang berbeza kepada pemain tengah yang lain. Saya tidak ragu-ragu dalam fikiran saya dia boleh melakukannya,” katanya.

England berada di tangga teratas Kumpulan C selepas kemenangan ketiga berturut-turut termasuk ke atas Itali dan Ukraine pada Mac.

Dengan dua pasukan teratas layak ke Kejohanan Eropah di Jerman, anak buah Southgate akan melayan kunjungan Macedonia Utara di Old Trafford Isnin ini mengintai peluang untuk mencerahkan peluang layak.

sumber:- SH

Hanya 19 hari selepas musim Liga Perdana Inggeris berakhir dan kurang seminggu selepas Manchester City memenangi Liga Juara-Juara, pemain England yang kepenatan terpaksa melupakan rancangan untuk bercuti dengan fokus kepada dua lagi perlawanan kelayakan.