Penyerang Sepanyol, Joselu meledak gol kemenangan dua minit sebelum tamat untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Itali awal pagi tadi sekali gus menempah pertembungan final Liga Negara-Negara UEFA menentang Croatia.
Pasukan kendalian Luis de la Fuente mengharungi pertarungan sengit di Enschede untuk mara ke final awal pagi Isnin ini, ketika anak buah Zlatko Dalic menanti mereka selepas menewaskan tuan rumah Belanda awal pagi semalam.
Yeremy Pino meletakkan La Roja di depan selepas tiga minit namun Ciro Immobile menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan dan aksi itu kelihatan akan berlanjutan ke masa tambahan sebelum Joselu menyumbat masuk dari jarak dekat bagi memastikan kemaraan.
Kemenangan itu mengendurkan tekanan buat De la Fuente, yang dikritik hebat selepas tewas di tangan Scotland pada Mac lalu, dalam perlawanan kedua kendaliannya.
Joselu, yang merakam tiga gol dalam tiga perlawanan bersama jurulatih baharu itu, yang memberikannya peluang beraksi buat julung kali, menyudahkan peluang selepas percubaan Rodri Hernandez singgah di kakinya.
Pemain berusia 33 tahun itu tersingkir ke divisyen dua bersama Espanyol musim depan namun meledak 16 gol dalam kancah La Liga.
“Saya amat gembira buat setiap orang, kelompok pemain ini dan jurulatih berhak bergembira,” kata Jesus Navas, yang muncul pemain paling tua beraksi bersama Sepanyol pada usia 37 tahun.
“Kami bermain dengan menekan lawan sejak sepak mula, kami gembira dan boleh berbangga kerana berjaya mara ke final.
“Ia satu kejayaan yang menarik dan berbaloi hasil usaha keras kami, inilah caranya jika kami mahu meraih kejayaan,” katanya.
sumber:- BH
Sepanyol membelasah Itali 4-0 pada final Euro 2012 selain menang pada separuh akhir Liga Negara-Negara 2021, manakala Itali menang Euro 2020 selepas menewaskan Sepanyol menerusi penentuan penalti pada separuh akhir. – AFP