sukan

Liverpool layak Liga Juara-Juara Eropah musim depan?

Manchester City melakar sejarah apabila menewaskan Inter Milan 1-0 untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali.

Pemain tengah, Rodri meledak gol tunggal permainan di babak kedua, selepas Kevin De Bruyne terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di awal aksi final di Istanbul itu.

Kemenangan itu melengkapkan kejuaraan treble buat anak buah Pep Guardiola, yang sudah memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

Sebagai pemenang Liga Perdana Inggeris, City sudah mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Kini dengan muncul juara, City layak ke saingan itu musim depan sebagai juara bertahan.

Dengan Liga Perdana Inggeris menawarkan tempat kepada empat pasukan teratas liga, adakah pasukan di tangga kelima, Liverpool akan menyertai Liga Juara-Juara Eropah musim depan?

Jawapannya, tidak. Ini kerana tempat untuk City musim depan sudah ditentukan sebelum kemenangan mereka ke atas Inter.

Jadi satu lagi kekosongan yang ditinggalkan City akan diberikan kepada negara yang berada di ranking ke-11 untuk menyertai peringkat kumpulan tanpa perlu mengharungi aksi kelayakan.

Serbia berada di ranking ke-11 dalam senarai UEFA. Bagaimanapun, juara liga Serbia sudah mengesahkan kelayakan ke saingan musim depan – mengambil tempat Russia yang berada di ranking ke-10 dunia.

Russia masih digantung daripada menyertai sebarang kejohanan Eropah susulan serangan mereka ke atas Ukraine.

Jadi, juara liga negara di ranking ke-12, Ukraine, akan mendapat laluan ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Hanya ada satu situasi di mana lima pasukan daripada England dapat beraksi serentak dalam satu musim Liga Juara-Juara Eropah.

Ia boleh berlaku apabila kelab Inggeris yang memenangi Liga Juara-Juara atau Liga Europa, tidak berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

sumber:- BH

Dengan City sudah memenangi liga musim ini, situasi itu tidak akan berlaku dan Liverpool kekal beraksi di Liga Europa musim depan. – AGENSI