sukan

Komen Pep Guardiola selepas Manchester City kuasai Eropah

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata kejayaan Liga Juara-Juara Eropah pertama pasukannya sudah tertulis di bintang selepas kemenangan ke atas Inter Milan.

Jaringan minit ke-68 Rodri memberikan City kejuaraan sulung dalam kejohanan itu, dan bernasib baik apabila Inter terlepas beberapa peluang di babak kedua untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

“Amat sukar untuk memenanginya. Mereka (pemain-pemain City) sangat bagus. Sabar, kata saya ketika rehat. Kami bernasib baik. (Penjaga gol) Ederson atau mereka (Inter) tersasar, mereka mampu seri.

“Ia sudah tertulis di bintang. Ia milik kami,” kata Guardiola selepas kemenangan di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul.

Guardiola kini sudah memenangi trofi itu sebanyak tiga kali selepas muncul juara bersama Barcelona pada tahun 2009 dan 2011.

Kemenangan itu turut memberikan City kejuaraan treble selepas memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim ini.

“Kami akan meraikannya di hotel bersama keluarga dan rakan-rakan. Isnin (esok) perarakan akan diadakan di Manchester. Dengan pertandingan ini, treble amat sukar,” katanya.

sumber:- BH

City beberapa kali terlepas peluang memenangi Liga Juara-Juara Eropah pertama mereka sejak kelab diambil alih pemilik dari Abu Dhabi pada tahun 2008, termasuk kekalahan pada final di tangan Chelsea dua tahun lalu. – AFP