Kapten Malaysia Sah dilepaskan

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools tidak akan menyertai pasukan bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu pada pertengahan bulan ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan ketika mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat itu menjelaskan Cools diberikan pelepasan kerana akan melangsungkan perkahwinan.

Berdasarkan senarai itu, pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon mengekalkan 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru pada Mac lalu.

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.

Tuck bersama dua lagi pemain naturalisasi iaitu Paulo Josue dan Endrick Dos Santos serta pemain kacukan, Nooa Laine turut mendapat kepercayaan untuk berada dalam senarai yang dipanggil pengendali dari Korea Selatan itu.

Lebih menarik, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa pula termasuk dalam tiga pemain yang kembali dipanggil bersama Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi.

Penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City, Azri Ab Ghani dan Syahir Bashah turut menjadi pilihan Pan Gon untuk menunjukkan potensi mereka bersama skuad senior Harimau Malaya.

Selain itu, pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh bersama rakan sepasukannya di JDT, Nathaniel Shio Hong Wan, Syafiq Ahmad dan Afiq Fazail diletakkan dalam senarai 24 pemain bersedia jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain itu.
sumber:- BH

Harimau Malaya akan menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum berdepan Papua New Guinea di gelanggang sama, 20 Jun.