Harga Benzema Memang padu

Karim Benzema bakal menyertai kelab baharu hujung bulan ini selepas menerima tawaran kelab Arab Saudi, Al Ittihad sekali gus menjadikannya sebagai pemain dengan bayaran tertinggi di dunia, selepas Cristiano Ronaldo.

Apapun, semuanya bergantung dengan masa depan Lionel Messi. Seandainya ikon Argentina itu menerima tawaran kelab Saudi bernilai 400 juta euro (RM1.97 bilion), dia akan mengatasi kedua-dua pemain dari Perancis dan Portugal berkenaan.

Semalam, Al Ittihad mengumumkan penyertaan Benzema secara rasmi di laman media sosial mereka dengan sebelum itu menerima tawaran kontrak sehingga 2025 termasuk pilihan untuk terus bersama kelab sehingga 2026.

Dia akan menerima bayaran 100 juta euro (RM492.89 juta) semusim, selain bonus 20 juta euro (RM98.58 juta) sebagai duta Piala Dunia 2030 yang mana Arab Saudi sedang membida menganjurkannya.

Justeru itu, jumlah keseluruhan yang bakal diterima bekas pemain Real Madrid itu berkemungkinan tidak kurang daripada 220 juta euro (RM1.08 bilion) dan boleh mencecah 320 juta euro (RM1.57 bilion).

Sebagai rekod, di Real Madrid, Benzema menerima 28 juta euro (RM138.01 juta) secara kasar semusim dan perbezaan ini jelas begitu ketara, malah di Arab Saudi tiada cukai pendapatan dan ia membolehkannya menerima kelebihan daripada sudut cukai.

Andai di Madrid, Benzema menerima bayaran bersih sekitar 14 juta euro (RM69 juta), sudah pasti dia akan menerima tambahan 86 juta euro (RM423.88 juta) semusim dan itu tidak termasuk bonus 20 juta euro (RM98.58 juta).

Pemain Perancis itu bakal bersama juara Liga Profesional Saudi, Al Ittihad yang menewaskan kelab disertai Ronaldo, Al Nassr dan Al Hilal, selepas kali terakhir bertemu Real Madrid di final Piala Kelab Dunia, enam bulan lalu.

sumber:- BH

Stadium Al Ittihad – Bandar Sukan Raja Abdullah – bukanlah asing buat penyerang Perancis itu dan Real Madrid pernah menjuarai Piala Super Sepanyol yang pertama kali dimainkan di tanah Arab pada 2020. – AGENSI