Harry Maguire akan menerima bayaran 10 juta pound (RM57.38 juta) dari Manchester United sekiranya meninggalkan Old Trafford pada musim panas ini.
Pentas final Piala FA berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Maguire sebagai pemain United dengan kapten berusia 30 tahun itu dilihat bakal berada di bangku simpanan ketika bertemu Manchester City di Wembley, Sabtu ini.
Maguire bernilai 80 juta pound (RM459.01 juta) ketika tiba dari Leicester pada 2019 namun kini dalam lingkungan 30 juta pound (RM172.13 juta) selepas mengambil kira faktor usianya dan baki dua pertiga daripada kontrak enam tahunnya.
Maguire mempunyai baki dua tahun kontrak dengan perjanjian 190,000 pound (RM1.09 juta) seminggu dan dijangkakan hanya akan memperoleh separuh daripada jumlah berkenaan di kelab baharunya – menyaksikan United hanya perlu membayar 10 juta pound (RM57.38 juta) untuk melepaskan pemainnya itu.
Pemain pertahanan itu hanya 16 kali diturunkan daripada 61 perlawanan United dalam kesemua kejohanan musim ini, menyaksikan pengendali pasukan, Erik ten Hag lebih gemar menggunakan Lisandro Martinez, Raphael Varane, Victor Lindelof dan Luke Shaw di posisi bek tengah.
Pengurus England, Gareth Southgate pada minggu lalu menegaskan bahawa kekurangan aksi Maguire dalam kesebelasan utama United tidak boleh diteruskan sekiranya dia mahu mendapatkan tempat bersama pasukan kebangsaan.
Pada Isnin, Ten Hag turut membincangkan situasi dihadapi pemain itu dan mengakui ‘tiada seorang pun yang gembira dengan keadaan ini – dia juga tidak begitu baik’.
Pengendali United itu berkata, ia terpulang kepada Maguire untuk membuat keputusan mengenai masa depannya dan sumber kelab turut senada, mengulangi pandangan itu.
Mereka menegaskan yang pemain dari Yorkshire itu tidak dipaksa untuk meninggalkan kelab dan mungkin boleh terus bersama pasukan.
Maguire adalah salah seorang dalam senarai pemain yang masih tidak pasti bersama United dengan nasib Anthony Martial, Fred, Scott McTominay dan Aaron Wan-Bissaka turut menjadi tanda tanya.
Apa yang pasti, Phil Jones, Eric Bailly, Axel Tuanzebe, Alex Telles, Brandon Williams dan Ethan Galbraith akan meninggalkan kelab.
Dean Henderson juga dikaitkan dengan pemindahan tetap ke Nottingham Forest sekiranya David de Gea mengikat kontrak baharu di United. Henderson menyertai musim ini secara pinjaman ke Forest tetapi pada masa ini tidak dapat beraksi susulan pembedahan selepas mengalami kecederaan paha.
United harus membuat keputusan muktamad sama ada mengekalkan penjaga gol nombor dua mereka, Tom Heaton manakala Jack Butland akan kembali dari Crystal Palace susulan status pinjamannya dan turut berada dalam perbincangan bersama Rangers.
sumber:- BH
Selepas Diogo Dalot menandatangani kontrak lima tahun Rabu lalu, De Gea dijangka menjadi pemain United seterusnya yang akan bersetuju dengan syarat baharu, menyaksikan dirinya akan menerima kurang daripada bayaran semasa 375,000 pound (RM2.15 juta) seminggu tetapi dengan tambahan insentif bonus. – AGENSI