Badan induk badminton dunia membuka jalan bagi wakil Rusia dan Belarus untuk kembali beraksi sebagai pemain neutral selepas mereka dilarang bermain akibat pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Keputusan ini diambil menjelang Olimpik Paris yang tinggal setahun lagi dan badan induk itu sedang berjuang untuk menentukan langkah yang harus diambil ke atas pemain dari Rusia dan sekutunya, Belarus.
Persekutuan Dunia Badminton (BWF) melarang pemain Rusia dan Belarus pada Mac tahun lalu dan meneruskan larangan berkenaan sehingga April tahun ini ketika serangan Moscow terhadap Ukraine memasuki tahun kedua.
Namun hari ini, BWF mengumumkan bahawa mereka menyusun ‘rangka kerja pengawalseliaan dan operasi untuk membolehkan atlet pasport Rusia dan Belarus bersaing sebagai atlet neutral individu’.
“Majlis BWF kemudiannya akan membincangkan prinsip, rangka kerja dan garis masa untuk berpotensi menarik balik penggantungan atlet Rusia dan Belarus,” kata BWF dalam satu kenyataan.
Mereka akan bermesyuarat pada Ogos di Copenhagen.
Atlet dari kedua-dua negara menghadapi sekatan yang berbeza daripada pelbagai sukan sejak Rusia menyerang Ukraine.
Pada bulan Mac Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesyorkan agar atlet Rusia dan Belarus kembali ke pertandingan antarabangsa, tanpa menyentuh peluang mereka di Sukan Olimpik Paris.
sumber:- HM
Banyak sukan, termasuk badminton, memulakan kempen kelayakan mereka untuk Paris 2024.