sukan

Jordi Amat sedia berdepan aksi ‘luar biasa’

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat bersedia untuk berdepan aksi ‘luar biasa’ Penang FC pada pertembungan suku akhir kalah mati Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pemain warisan Indonesia itu yang memakai liitan selaku kapten buat skuad Harimau Selatan menegaskan walaupun skuad kendalian Manzoor Azwira Wahid dipalit dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super bukan bererti pasukan itu mudah ditewaskan.

“Aksi suku akhir amat penting bagi kami kerana selaku juara bertahan sudah tentu mahu meneruskan momentum untuk melangkah ke separuh akhir.

“Tapi dalam masa yang sama kami perlu berwaspada dengan taktikal permainan Penang yang bakal beri tekanan pada perlawanan itu nanti.

“Oleh itu, kami perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dan tidak boleh membuat kesilapan kerana kami tahu Penang bukanlah pasukan yang lemah malah mereka ada kekuatan tersendiri.

“Bukan sahaja saya malah rakan sepasukan sudah 100 peratus bersedia. Sejak dari hari pertama pra musim di Dubai, kami bercakap tentang perkara ini dan kini kami cuba untuk memperbaiki persembahan setiap minggu,” katanya.

Ditanya mengenai gandingan yang bakal menerajui benteng pertahanan pada pertemuan menentang skuad Harimau Kumbang, bekas pemain Rayo Vallecano itu tidak berdepan masalah untuk digandingkan dengan sesiapa pun di posisi pertahanan.

Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari tetap menganggap ia perlawanan yang sukar buat pasukan itu memandangkan Penang FC memberi kualiti permainan yang baik dan mempamerkan corak permainan pantas.

sumber:- HM

“Kami memberi penekanan terhadap latihan ‘set-piece’ dan persiapan tampak berjalan dengan baik malah pemain perlu meneruskan latihan selepas aksi menentang Sri Pahang FC, Rabu lalu dan pemain tampak sudah bersedia untuk aksi kalah mati,” kata Solari.