‘Tembok Besar China’ nyata sukar untuk dirobohkan selepas negara itu muncul juara Piala Sudirman buat kali ketiga berturut-turut dan ke-13 secara keseluruhannya, hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas China mengatasi Korea Selatan 3-0 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik di Suzhou.
Mata pertama China disumbangkan beregu campuran, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan gandingan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 18-21, 22-20, 21-8.
Naib juara dunia 2018, Shi Yu Qi meletakkan China selesa di depan 2-0 menerusi kemenangan ke atas Lee Yun Gyuc 21-13, 21-17 dalam acara perseorangan lelaki.
Pemain perseorangan wanita, Chen Yu Fei menoktahkan kemenangan China apabila menyumbang mata ketiga selepas membenam cabaran pemain nombor dua dunia, An Se Young 21-16, 22-20.
Sejak diperkenalkan pada 1989, hanya tiga negara berjaya muncul juara dalam kejohanan berpasukan campuran itu iaitu China, Korea dan Indonesia.
sumber:- BH
Indonesia menjuarai edisi pertama manakala Korea empat kali muncul juara pada 1991, 1993, 2003 dan 2017 dengan selebihnya menyaksikan penguasaan China dalam kejohanan yang berlangsung dua tahun sekali itu.