sukan

Kedah bedal Kelantan

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati jangkaan apabila membelasah Kelantan FC 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Sang Kenari melonjakkan kedudukannya ke tangga keempat liga manakala The Red Warriors (TRW) terus kekal di dasar liga.

Anak buah Nafuzi Zain membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan, Manuel Ott pada minit ke-16 yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti selepas mendapat hantaran daripada Amirul Hisyam sekali gus menewaskan penjaga gol lawan, Nik Mohd Amin.

Kelantan yang tertekan selepas ketinggalan satu gol, sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua Kedah menerusi pemain naturalisasi, Lee Tuck yang menyudahkan hantaran Manuel Hidalgo pada minit ke-27.

Kedah terus menambah derita skuad TRW dengan jaringan ketiga selepas dua minit babak kedua bermula melalui rembatan pemain import Manuel Hidalgo yang mendapat umpanan daripada Willian Lira dalam kotak penalti.

Sang Kenari terus menambah gol apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Willian Lira pada minit ke-59 selepas pemain Kelantan Muhammad Afzal dikesan menyentuh bola ketika berhadapan pemain Kedah, Kamil Akmal.

sumber:- BH

Kelantan yang cuba mencari gol, terus dihukum Sang Kenari dengan jaringan penyerang gantian, Jonathan Balotelli pada minit ke-89 apabila mudah menanduk masuk bola.