sukan

Bukan biasa-biasa rahsia kejayaan Indonesia

Selepas menanti selama 32 tahun, skuad bawah 22 tahun (B-22) Indonesia akhirnya berjaya memenangi pingat emas di temasya Sukan Sea Kemboja.

Skuad Garuda Muda melakukannya selepas meraih kemenangan 5-2 ke atas Thailand pada aksi final yang cukup panas serta penuh drama, semalam.

Perjalanan Garuda Muda untuk sampai ke final sememangnya tidak mudah. Mereka muncul juara Kumpulan A sebelum menewaskan Vietnam 3-2 pada aksi separuh akhir.

Selain aksi lincah di atas padang, skuad Garuda Muda yang rata-ratanya beragama Islam mencuri tumpuan apabila teguh mengamalkan ajaran yang dituntut agama termasuklah menunaikan solat secara berjemaah bersama-sama sebelum bermulanya aksi final itu.

Beberapa keping gambar yang tular di media sosial menyaksikan penyerang, Fajar Fathur Rahman menjadi imam manakala jurulatih Indra Sjafri serta barisan pemain lain menjadi makmum.

Ramai berpendapat itulah rahsia kejayaan Indonesia yang akhirnya berjaya memenangi pingat emas di temasya dwi tahunan itu.

Tidak terhenti di situ, setiap kali berjaya menjaringkan gol, barisan pemain Indonesia akan meraikannya dengan melakukan sujud syukur.

Kelakuan itu bukanlah sekadar gaya meraikan jaringan gol sahaja, sebaliknya ia sememangnya sesuatu yang dituntut oleh Nabi Muhammad apabila kita mendapat kesenangan atau nikmat dari Allah.

Perlawanan akhir itu dianggap sebagai peluang bagi Indonesia untuk mengembalikan kebanggaan kepada maruah bola sepak mereka selepas insiden banyak kehilangan nyawa di stadium dan kehilangan hak penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun.

Nama beberapa pemain yang membarisi skuad Garuda Muda kali ini juga mencuri tumpuan, antaranya Beckham Putra yang mirip nama bekas bintang sensasi England dan Manchester United, David Beckham.

sumber:- HM

Beckham turut menyumbang gol kelima pada perlawanan final, semalam.