Sekalipun berdepan isu tunggakan gaji, situasi itu jelas tidak melemahkan KL City FC apabila pasukan itu jelas berada pada kemuncak prestasi apabila mencatat lima perlawanan tanpa kalah berturut-turut dalam Liga Super.
Dalam lima perlawanan terakhir, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac itu melakar tiga kemenangan dan dua keputusan seri untuk berada di tangga keenam Liga Super dengan 28 mata.
Sekiranya mereka tidak ditolak enam mata oleh First Instance Body (FIB), mereka sepatutnya sudah menghimpun 34 mata dan boleh berada di tangga keempat.
Pencapaian dilakar skuad Warga Kota itu nyata menggembirakan pertahanan tengahnya, Giancarlo Gallifuoco yang berkongsi satu hantaran mengenai rekod mereka di laman X dengan ayat ‘Sampai Mati Kuala Lumpur’.
Namun apa yang menarik adalah ciapan Gallifuoco itu mendapat balasan daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail yang dilihat seakan bergurau dengan pemain dari Australia itu.
“Apabila anda mencapai 80 (perlawanan tanpa kalah), nanti maklumkan kepada saya.”Gallifuoco kemudiannya membalas ciapan Tunku Mahkota Ismail itu sambil bertekad akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukannya selepas ini.
“Masih jauh lagi tetapi ini adalah permulaannya sedikit demi sedikit. Saya akan terus bekerja keras pada setiap hari untuk membantu pasukan kami menghampiri rekod terbabit sejauh mana yang kami mampu. Itu adalah penanda arasnya,” katanya.
Susulan itu, Tunku Mahkota Ismail membalas ‘itulah semangat yang kita mahukan. Bagus untuk anda.”
Sebagai rekod, pemain dengan ketinggian 1.87 meter (m) itu menjadi antara pemain yang dikaitkan untuk menjadi pemain naturalisasi skuad kebangsaan selain Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo.
sumber:- BH
Ketika diminta mengulas mengenai khabar angin ini, bekas pemain Melbourne Victory ini tanpa berselindung bersedia untuk membantu skuad Harimau Malaya sekiranya mendapat peluang kerana beliau sudah menganggap Malaysia sebagai tanah airnya.