sukan

Pengadil buktikan sebaliknya

Di sebalik kritikan demi kritikan yang dilemparkan penyokong bola sepak tempatan mengenai mutu pengadilan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) beranggapan sebaliknya berdasarkan kepada jumlah aduan bertulis diterima badan induk itu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, barisan pengadil yang bertugas di Liga M sudah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang di sepanjang saingan domestik bagi musim 2024/25.

“Keberadaan pengadil dengan tahap pemahaman Undang-undang Permainan yang baik serta tahap kecergasan yang tinggi dengan dibantu oleh ‘Video Bantuan Pengadil’ (VAR) sudah membuktikan kecemerlangannya.

“Setakat ini, FAM hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan. Pengadil-pengadil FIFA dari negara ini sudah diiktiraf oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Seperti yang kita sedia maklum, Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan dan Mua’zi Zainai Abidin pernah bertugas di Piala Asia dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Nazmi juga adalah salah seorang calon pengadil Piala Dunia 2026.

“FAM juga memiliki sekumpulan pengadil muda dan berpotensi yang dididik menerusi Projek Akademi Pengadil Profesional,” kata Sivasundaram.

Mengulas lanjut, Sivasundaram berkata, perkembangan dan kemajuan Liga M amat bergantung kepada keberadaan kedudukan kewangan yang kukuh dan pengurusan pasukan yang terancang dan profesional.

sumber:- BH

“FAM akan sentiasa peka dan terbuka dengan semua idea yang membina sepertimana yang disampaikan oleh Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan terbaharunya itu,” katanya.