sukan

Barisan pemain beregu lelaki negara sedang ‘mendunia’

Barisan pemain beregu lelaki negara ketika ini boleh dianggap sedang ‘mendunia’ dengan beberapa kejayaan yang diraih di pentas antarabangsa.

Pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani paling menyerlah dengan yang terbaru mereka muncul juara Terbuka India, dua minggu lalu.

Pada musim lalu mereka berjaya merangkul tiga gelaran dalam tempoh empat bulan terakhir bermula Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.

Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya mendiamkan Istora Senayan untuk menjadi beregu lelaki pertama Malaysia menjuarai saingan Masters Indonesia, Ahad lalu.

Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula yang sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu semakin menemui rentak permainan mereka apabila bangkit daripada kekalahan pusingan kedua Terbuka Malaysia dengan melangkah ke separuh akhir Terbuka India dan Masters Indonesia.

Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Datuk Razif Sidek, berkata barisan pemain negara berjaya memanfaatkan peluang terhidang selepas pasangan utama dunia termasuk dari China dan Denmark bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Ada juga negara seperti Korea Selatan katanya masih menjalankan eksperimen dengan pertukaran kombinasi dalam beregu mereka.

Katanya, peningkatan prestasi pasangan seperti Sze Fei-Izzuddin pula mungkin didorong kemahuan tinggi mereka untuk menonjolkan potensi sebenar selain memburu hadiah wang kemenangan yang semakin lumayan ketika ini sebagai sumber pendapatan mereka selepas bergerak secara profesional.

“Selepas keluar daripada BAM, Sze Fei-Izzuddin mungkin mahu membuktikan kehandalan, kebolehan dan kemampuan mereka.

“Sebagai pasangan profesional, mereka sudah pasti ada komitmen terhadap penaja mereka dan perlu menghasilkan keputusan terbaik.

“Hadiah wang kemenangan juga semakin lumayan sekarang. Jadi, ia mungkin menjadi motivasi untuk mereka cuba menjadi juara bagi menjana pendapatan menampung perbelanjaan mereka,” katanya kepada BH Sukan.

Razif yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 bersama Datuk Seri Jalani Sidek, berkata lonjakan prestasi ditunjukkan barisan pemain beregu lelaki negara ketika ini mewujudkan persaingan sihat antara mereka untuk menjadi yang terbaik.

“Ia meletakkan semua beregu lelaki kita tidak boleh terlalu selesa sekali gus mendorong mereka untuk bekerja keras. Jika tidak kedudukan mereka pasti akan tergugat,” kata Razif.

sumber:- BH

Jika prestasi berterusan ditunjukkan beregu lelaki negara ini untuk tempoh beberapa tahun lagi, ia juga memberi bayangan skuad kebangsaan berpeluang cerah menamatkan kemarau pingat emas di Olimpik yang akan berlangsung di Los Angeles pada 2028.

Ranking Pemain beregu lelaki

1. Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (2)

2. Aaron Chia-Soh Wooi Yik (5)

3. Man Wei Chong-Tee Kai Wun (12)

4. Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (17)

5. Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (26)

6. Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong (27)

7. Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (29)

8. Low Hang Yee-Ng Eng Cheong (41)

9. Lau Yi Shen-Lee Yi Bo (56)

10. Kang Khai Xing-Aaron Tai (58)