Terengganu FC (TFC) tidak akan berputus asa sebaliknya meletakkan harapan yang tinggi agar bantahan dan rayuan berhubung jadual Liga Super membabitkan skuad itu mendapat perhatian sewajarnya daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Malah skuad Penyu itu juga sudah menghubungi pengelola bola sepak negara itu untuk mengetahui status terkini, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang jawapan berhubung perkara itu.
Pengurusnya, Mohd Fadhil Wahab mengharapkan perkhabaran gembira pada bulan Ramadan dapat diputuskan segera oleh pihak MFL lebih-lebih lagi jadual perlawanan semakin hampir.
Bantahan dan rayuan sudah kami kemukakan kepada pihak MFL untuk pertimbangan yang sewajarnya berhubung jadual perlawanan Liga Super membabitkan pasukan TFC yang dilihat berat sebelah.
Saya juga sudah menghubungi pihak MFL untuk mengetahui status terkini bantahan itu, namun sehingga hari ini masih belum mendapat jawapan dan maklum balas.
“Jadi kami masih menunggu perkembangan itu dengan harapan rayuan dan permintaan diterima kerana kami sudah memberikan alasan kukuh dan penerangan yang jelas secara bertulis kepada MFL berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu TFC berang dengan menyifatkan jadual perlawanan Liga Super membabitkan skuad itu tidak adil kerana skuad kendalian Nafuzi Zain itu terpaksa beraksi dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada bulan puasa sebelum kembali beraksi di tempat sendiri pada 22 April.
Skuad itu juga terpaksa beraksi dalam tiga perlawanan terakhir liga di gelanggang lawan yang sudah tentu boleh memberi kesan dan mempengaruhi pasukan serta prestasi pemain.
Berikutan itu TFC menghantar surat bantahan kepada MFL pada 8 Februari lalu memohon jadual perlawanan dipinda bagi memberi keadilan kepada pasukan bertanding.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fadhil menjelaskan sesi latihan pemain diteruskan pada bulan ini bagi memastikan tahap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik.
sumber:- HM
“Bagi pemain beragama Islam barisan kejurulatihan akan mengatur masa sesuai untuk latihan manakala pemain bukan beragama Islam mereka berlatih seperti biasa bagi memastikan tahap kecergasan dapat dikekalkan walaupun sehingga kini TFC belum lagi turun beraksi dalam aksi sebenar,” katanya.