Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menegaskan hubungannya dengan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) kekal baik biarpun terdapat kecaman daripada penyokong badminton Indonesia terhadap badan induk itu susulan kejayaan pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, Ahad lalu.
Kemarahan penyokong di republik berkenaan bukan ditujukan kepada Herry, sebaliknya lebih kepada keputusan PBSI melepaskan khidmat jurulatih berpengalaman itu yang kini dilihat menjadi pencetus kejayaan skuad beregu lelaki Malaysia.
Herry yang sebelum ini cukup sinonim dengan pencapaian gilang-gemilang bersama skuad beregu Indonesia enggan melayan isu berkenaan secara emosi.
“Itu adalah risiko apabila saya bekerja (menjadi jurulatih di Malaysia). Mereka yang ada masalah, saya tiada masalah. Itu biasa… memang penyokong akan beri komen.
“Mungkin sebab saya sudah lama (menjadi jurulatih) di Indonesia dan hasilnya tidak begitu baik kebelakangan ini apatah lagi yang jadi juara pula Malaysia, mungkin penyokong ada sedikit iri hati dan bagi saya itu perkara biasa,” kata Herry yang digelar jurulatih Naga Api.
Semalam, BH Sukan melaporkan kejayaan Aaron Wooi Yik muncul juara di Ningbo mencetus ‘kekecohan’ di Indonesia.Ia berikutan kejayaan yang diraih beregu nombor empat dunia itu turut dianggap sebagai hasil ‘sentuhan’ Herry yang mula menjadi jurulatih negara pada Februari lalu.
Dan ia mendapat reaksi pelbagai dalam kalangan peminat badminton Indonesia, termasuk rasa terkilan terhadap keputusan PBSI yang sebelum ini tidak menyambung kontrak jurulatih berpengalaman itu.
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan PBSI, Herry menegaskan tidak wujud sebarang ketegangan atau masalah antara dia dan bekas majikannya itu.
“Tidak ada masalah. Bila di Ningbo pun saya pergi makan dengan pemain-pemain Indonesia. Kami sudah lama berkawan. Hubungan tetap baik,” katanya.
sumber:- BH
Herry yang berkhidmat selama 25 tahun bersama PBSI sudah pun membuktikan sentuhan ‘magisnya’ apabila berjaya melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008) serta menghasilkan deretan pasangan bertaraf dunia dari negara itu.