sukan

Komen tanpa berselindung Bidoglio aksi berdepan Buriram

Walaupun misi membawa pulang bekalan selesa tidak kesampaian, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan disiplin pemainnya ketika seri 0-0 dengan Buriram United di tempat lawan, malam tadi.

Beliau tidak menafikan pasukannya berdepan perlawanan sukar menentang skuad kendalian Osmar Loss Vieira pada aksi pertama pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Chang Arena di Buriram, Thailand, malam tadi.

“Memang ia perlawanan sukar, tapi cara kami bertahan dan memastikan pemain Buriram United tidak menjaringkan gol harus dipuji.

“Barisan pertahanan begitu berdisiplin selain pemain tengah yang bertindak mematikan langkah pemain lawan dan kurang melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kita pulang dengan tangan kosong.

“Pemain bermain dengan baik dan mengamal corak permainan kompak dan masih ada perlu diperbaiki bagi persiapan aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) minggu depan terutama apabila sukar untuk membuka ruang dan pemain tidak dapat mengumpan bola dengan tepat.

“Perlawanan antarabangsa di tempat lawan memang sentiasa mencabar lebih-lebih lagi dalam kejohanan seperti ACLE kerana ia bukan perlawanan 90 minit semata-mata, tetapi 180 minit.

“Jadi, keputusan seri yang diraih tetap positif kerana kami akan beraksi di laman sendiri selepas ini dan sudah pasti JDT akan beri segala-galanya untuk memburu kemenangan ” tambahnya.

Untuk rekod, kedua-kedua pasukan turut terikat tanpa jaringan pada aksi peringkat kumpulan di SSI pada 3 Disember lalu.

Ditanya mengenai debut bekas pemain AC Milan, Samu Kastilejo yang diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu, Bidoglio berpuas hati dengan sumbangan pemain import dari Sepanyol itu.

“Saya berpuas hati dengan usaha Samu (Kastilejo). Dia baru bersama kami dan masih dalam proses memahami corak permainan serta rakan sepasukan.

“Namun, dia memberikan yang terbaik. Saya percaya dalam masa beberapa hari lagi, dia akan semakin serasi dan mampu memberikan sumbangan lebih besar,” jelasnya

Pengendali kelahiran Argentina itu mengakui, setiap kali aksi di gelanggang lawan dalam saingan ACLE tampak begitu mencabar dan apabila beraksi di SSI, senario permainan akan berbeza.

Katanya, sebagai pasukan dibarisi pemain berkualiti, mereka sentiasa perlu ditambah baik dan tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang dikecapi dan memberi fokus kepada persiapan diri sendiri.

“Untuk aksi kedua di tempat sendiri nanti, ia tetap mencabar tapi kesempatan bermain di depan penyokong sendiri akan meningkatkan lagi motivasi pemain.

sumber:- HM

“Keadaan padang pun lebih baik dan sudah tentu fokus kami adalah layak ke pusingan seterusnya,” ujar Bidoglio.