Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki kekuatan dan kelebihan di bahagian serangan, kata bekas pemain kebangsaaan, Asmawi Bakiri, menjelang perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United malam esok.
Ini selepas Harimau Selatan merekodkan 16 jaringan sepanjang aksi peringkat kumpulan dan sudah pasti ia akan dinilai sebaik mungkin pengendali lawan, Osmar Loss Vieira, menjelang pertemuan di Chang Arena itu.
Tambah Asmawi, kemasukan beberapa muka baru, antaranya bekas bintang AC Milan, Samu Castillejo, pasti akan menghangatkan lagi suasana menjelang pertembungan dua pasukan gergasi ASEAN berkenaan.
“Kelebihan JDT ketika ini, saya ambil statistik mudah dan ringkas, 16 jaringan dengan sembilan bolos buat JDT berbanding tujuh jaringan dan 12 bolos buat Buriram,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Ia menandakan bahawa kekuatan JDT adalah penjaring gol individu, corak permainan menyerang dan mendapatkan gol melalui permainan terbuka dan set-piece.
“Ketika JDT menewaskan Pohang (Steelers), empat penyerang berbeza menjaringkan gol selain (Oscar) Arribas seorang pemain pertahanan.
sumber:- stadium astro
“Ia menunjukkan mereka sudah ada sentuhan pemusnah dan kini turut mendatangkan pemain lain yang boleh menambah kualiti serangan mereka.”