Bergson da Silva tampaknya bakal memiliki gandingan ampuh di jentera hadapan skuad Harimau Malaya dengan difahamkan Jordan Mintah kemungkinan bakal dinaturalisasikan.
Berdasarkan rekod, Mintah sudah cukup tempoh lima tahun beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak musim 2020 bersama Terengganu FC II.
Pemain kelahiran Kumasi, Ghana kemudian diserapkan ke pasukan utama skuad Penyu sebelum dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 2022 dan kini bermain untuk Kuching City FC sejak musim lalu.
Malah, sepanjang musim ini penyerang berusia 29 tahun itu dilihat cukup tajam di depan gawang termasuk meledak hatrik dalam aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC pada Rabu lalu.
Kehadiran Mintah pastinya memberi banyak pilihan buat pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang bakal menerima sentuhan penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson yang turut akan dinaturalisasikan menjelang awal musim depan.
Gandingan kedua-dua calon penyerang naturalisasi itu dijangka dapat menyelesaikan masalah ketumpulan di bahagian depan, sekali gus mewujudkan persaingan sihat babitkan dua penyerang naturalisasi sedia ada iaitu Romel Morales, Paulo Josue dan pemain warisan, Darren Lok.
Menurut sumber, Mintah antara pemain yang sedang dipantau dan berpotensi untuk memperkuatkan skuad negara.
“Mintah mungkin calon terbaharu untuk dinaturalisasikan. Dia dah cukup lima tahun dan tidak mempunyai masalah untuk diambil.
“Memandangkan dia bermain di posisi penyerang, kehadiran pemain sepertinya boleh menambah kekuatan pasukan yang kini dalam proses revolusi,” kata sumber.
Untuk rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lagi meneruskan program naturalisasi namun kelab-kelab Liga M masih diberi kebebasan untuk menjalankan program terbabit dengan syarat pemain import itu harus beraksi secara tetap di saingan domestik selama lima tahun berturut-turut.
sumber:- HM
Selain Mintah dan Bergson, tiga lagi calon berpeluang dinaturalisasikan iaitu pemain sayap Sri Pahang, Manuel Hidalgo serta dua tonggak pertahanan kental babitkan pemain Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco dan ketua pasukan Penang FC, Rafael Vitor.