sukan

Misteri Harimau Malaya

Berbaki tidak sampai sebulan lagi skuad baharu Harimau Malaya akan menghadapi ujian sulung berdepan Nepal pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac ini.

Seluruh peminat bola sepak tanah air sudah pasti tidak sabar untuk melihat taring Harimau Malaya menerusi projek revolusi skuad kebangsaan dan di bawah pengendali baharu, Peter Cklamovski.

Bagaimanapun perancangan Harimau Malaya dan skuad yang akan dibentuk bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F itu boleh dianggap masih ‘misteri’ kerana belum ada pengumuman rasmi dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini akan bermula pada 17 hingga 25 Mac dan terdapat kemungkinan Harimau Malaya mengharungi aksi pemanas badan sebelum menentang Nepal.

Nepal yang menghuni ranking 175 dunia pula dilaporkan akan menghadapi perlawanan persahabatan berdepan Singapura pada 21 Mac ini dengan aksi itu juga dianggap pemanas badan bagi mereka sebelum menentang Malaysia.

Pembentukan skuad negara kali ini juga menjadi tumpuan hangat dengan peminat masih ternanti-nanti mengenai siapa pemain warisan baharu Harimau Malaya dan adakah pemain berkenaan akan bersama Harimau Malaya bagi aksi berdepan Nepal.

Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend pada bulan lalu menjelaskan proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda berada di peringkat akhir manakala tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.

Pemain dari Belanda itu dikhabarkan Ferdy Druijf dengan dia yang juga bekas pemain AZ Alkmaar dikatakan sudah melengkapkan proses menjadi pemain warisan Harimau Malaya.

“Kami ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac, dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” kata Friend.

Barisan kejurulatihan yang diketuai Cklamovski juga difahamkan sedang berusaha keras memantau dan melakukan analisis pemain yang bakal dipanggil bagi menyertai skuad negara.

Kem pertama Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih dari Australia itu dijangka bermula pada 17 Mac dengan aksi terakhir Liga Super bagi bulan ini adalah pada 16 Mac.

Cklamovski sebelum ini menegaskan bahawa tumpuan utamanya adalah untuk mendapatkan persiapan rapi untuk kem latihan pusat bulan ini yang mana ia penting dalam usaha mendapatkan keputusan yang baik.

sumber:- BH

“Kami akan pergi dengan penuh komitmen untuk mendapatkan persiapan yang baik dan mendapatkan prestasi yang mana ia perlu untuk meraih keputusan,” katanya.