Gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bukan sahaja menjadi pasukan bola sepak semata-mata namun mereka boleh dianggap sedang mencipta sebuah ’empayar bola sepak’.
Malah, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus turut menyifatkan skuad Harimau Selatan itu sebagai pasukan yang ‘hampir sempurna’ dan seandainya mereka boleh diberikan rating, mereka layak mendapat 9.5 daripada 10.
Tegasnya, berdasarkan perancangan yang sudah disusun di bawah kendalian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pasukan itu nampaknya tidak menunjukkan ‘simptom’ untuk berhenti sekali gus dijangka akan terus mendominasi kancah domestik.
“Selagi cara dan pengurusan JDT seperti sekarang, mereka akan terus ke depan dan tak akan berhenti setakat ini. JDT sudah menjadi satu jenama yang besar dan sekarang mereka mahu melihat skop yang lebih besar iaitu di Asia.
“Kita harus lihat dominasi JDT ini daripada sudut positif kerana kita mahu pasukan lain pun turut membuat perancangan jangka masa panjang seperti yang dilakukan JDT. Kita tolak tepi mengenai isu kekangan atau sebagainya.
“Perancangan JDT ini ada kesinambungan, ada kelangsungan dan semuanya lengkap dalam konteks bola sepak. Inilah perkara yang harus dicontohi pasukan lain. Mungkin ada yang buat tetapi tidak mencukupi.
“Kalau JDT terus seperti ini, saya rasa agak sukar untuk lihat ada pencabar lain yang mampu menyaingi mereka. Saya harap semua pasukan dapat contohi JDT kerana di akhirnya, bola sepak negara yang akan mendapat manfaatnya nanti,” katanya.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Hector Bidoglio kini hanya selangkah untuk meraih ‘hatrik quadruple’ selepas sudahpun memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut pada musim ini.
Hanya tinggal Piala Malaysia untuk melengkapkan kabinet mereka namun perlu berdepan cabaran Sri Pahang FC (SPFC) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, 12 April ini.
sumber:- BH
Pasukan itu juga layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan bakal mencipta sejarah baharu sekiranya berjaya mengatasi wakil Thailand, Buriram United.