sukan

Kedah berisiko ‘ghaib’ terus

Bekas juara treble Liga Malaysia (Liga M), Kedah Darul Aman (KDA) FC kemungkinan akan berdepan pelbagai masalah pada saingan musim hadapan seperti diturunkan pangkat ke liga lebih rendah atau lebih teruk disingkirkan terus daripada pertandingan.

Ini susulan isu tunggakan gaji yang sedang melanda skuad Sang Kenari itu dengan bekas ketua jurulatih pasukan Liga Simpanan, Rosle Md Derus memulakan langkah pertama membawa kes itu ke jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengamal Undang-Undang Sukan, Nik Erman Nik Roseli berkata, melihat ‘drama’ yang sedang melanda pasukan Kedah, beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh terjadi kerana ia mengikut undang-undang yang termaktub, kes itu boleh dibawa ke Lembaga Tatatertib, Artikel 67 Kod Tatatertib.

“Antara penalti (denda) yang boleh dikenakan terhadap kelab Kedah adalah pertama, denda RM1,500, kedua, akan diberikan tarikh akhir untuk membayar jumlah (tertunggak), ketiga, dipotong mata, diarahkan turun divisyen dan larangan pemindahan (pemain) serta keempat, penyingkiran daripada pertandingan.

“Ketika ini, undang-undang dan kuasa di tangan FAM, cuma tinggal nak kuatkuasakan perintah yang diberi,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau difahamkan bahawa Rosle mahu memilih langkah seterusnya iaitu tindakan undang-undang selepas bekas majikannya itu tetap berdegil tidak mahu membayar kepadanya.

Namun, Nik Erman berpendapat lebih elok sekiranya kes itu dapat diselesaikan secara dalam keluarga bola sepak iaitu antara FAM, Kedah dan Rosle memandangkan wakil utara itu masih bertanding dalam Liga M.

“Tapi pendapat saya, semua cara dalam FAM perlu diguna dahulu sebelum boleh ke mahkamah. Bagi saya, aduan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM (setahu saya) masih belum dilakukan. Tindakan dalaman perlu dihabiskan dahulu sebelum boleh pergi ke mahkamah.

“Mungkin tak perlu ke mahkamah kerana kuasa ada di tangan FAM untuk ‘memaksa’ bayaran dibuat. Kedah masih aktif dan bertanding (jika dibandingkan dengan Kuantan FA dan Marcerra United).

“Saya yakin FAM akan menggunakan kuasanya sebaik sahaja Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan kerana mereka boleh denda Kedah dan kena percaya orang-orang di FAM akan menjalankan amanah mereka,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan Rosle sebenarnya bekerja secara percuma dalam tempoh setahun selepas bekas majikannya itu enggan membayar tunggakan gaji sepanjang tempoh 2024.

Disebabkan masih belum menerima bayaran itu, beliau mahu mengambil tindakan undang-undang jika tunggakan gajinya tidak diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

sumber:- HM

Difahamkan, hampir setiap hari beliau merayu kepada pengurusan KDA FC supaya menyelesaikan tunggakan gaji terbabit sebanyak RM108,000, membabitkan sembilan bulan gaji dan tunggakan sewa rumahnya ketika menabur bakti bersama pasukan itu.