Kedah Darul Aman (KDA) FC kemungkinan berhadapan masalah lebih besar selepas ini apabila bekas ketua jurulatih pasukan Liga Simpanan Rosle Md Derus mahu mengambil tindakan undang-undang jika tunggakan gajinya tidak diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.
Tindakan terbabit terpaksa diambil Rosle memandangkan kesabarannya sudah sampai had selain tiada langsung pihak pengurusan KDA FC menghubungi untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan tunggakan gaji.
Rosle yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, walaupun tindakan terbabit mungkin akan menambah lagi luka kepada KDA FC namun beliau sudah cukup menderita apabila hampir setahun bekerja tanpa dibayar gaji.
“Jika sudah tiada jalan lagi selain keputusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga tidak jalan terpaksalah saya mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut hak.
“Saya tidak sangka, pemilik KDA FC (Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar) masih lagi mahu meneruskan untuk menyertai saingan Liga Super pada musim depan walaupun masih berhadapan tunggakan gaji membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan.
“Ketika ini, saya hanya mahu menuntut hak kerana sudah hilang punca pendapatan dan jika mendapat bayaran tunggakan itu boleh meneruskan kehidupan dan membayar hutang,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Menerusi laporan Arena Metro, Rosle mendedahkan bahawa beliau sebenarnya bekerja secara percuma dalam tempoh setahun selepas bekas majikannya itu enggan membayar tunggakan gaji sepanjang tempoh 2024.
Lebih memburukkan keadaan, walaupun kes berkenaan sudah dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan keputusan menyebelahinya, namun sehingga kini KDA FC masih berkeras tidak mahu menyelesaikan tunggakan itu.
Rosle berkata, hampir setiap hari beliau merayu kepada pengurusan KDA FC supaya menyelesaikan tunggakan gaji terbabit sebanyak RM108,000, seperti yang diarahkan jawatankuasa status FAM membabitkan sembilan bulan gaji dan tunggakan sewa rumahnya ketika menabur bakti bersama pasukan itu.
Pada masa sama, Mohd Daud mengesahkan pihaknya berhutang tunggakan gaji babitkan bekas ketua jurulatih pasukan Liga Simpanan itu.
Jelas Mohd Daud, pihaknya tidak akan lepas tangan sebaliknya akan menangani isu itu sebaiknya. Tindakan undang-undang membabitkan isu tunggakan gaji bukanlah baru dalam industri bola sepak tanah air apabila bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United pernah diheret ke mahkamah kerana gagal menjelaskan hutang itu.
sumber:- HM
Malah, bekas pemilik pasukan terbabit ditahan selepas didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta membabitkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada 2018.