sukan

Ini satu ujian buat saya – Shah Firdaus

Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom enggan memberi sebarang alasan selepas terlepas pingat emas dalam acara keirin elit lelaki di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Shah Firdaus hampir meraih emas namun dipintas pelumba Jepun, Shinji Nakano sebelum garisan penamat.

Seorang lagi pelumba Jepun, Kaiya Ota, melengkapkan kedudukan podium dengan meraih gangsa.

Shah Firdaus berkata dia sudah memberikan segalanya dan enggan menjadikan apa-apa faktor sebagai alasan atas kegagalannya meraih emas.

“Saya sudah bersedia memberikan segalanya dalam perlumbaan akhir. Apabila melihat kedudukan undian, saya tahu ia bukan tugas mudah kerana kedua-dua pelumba Jepun berada dalam posisi strategik.

“Saya tidak boleh bergerak terlalu awal atau terlalu lambat, jadi saya perlu mencari peluang terbaik,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Jelasnya, dia melihat Kaiya sedikit keluar dari lorong pecut dan segera mengambil kesempatan untuk melakukan pecutan maksimum.

“Pada saat itu, saya yakin saya boleh menang. Namun, ini bukan kali pertama saya tewas dengan jurang kecil seperti ini.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa, tetapi saya anggap ini sebagai satu ujian untuk saya. Mungkin Allah merancang sesuatu yang lebih besar buat saya pada masa akan datang, saya hanya perlu terus bekerja keras,” katanya.

Pelumba yang dikenali dengan julukan “Terminator” itu menerima kemenangan pencabarnya dengan hati terbuka.

“Saya sudah memberikan yang terbaik dan tiada apa yang perlu dikesalkan. Saya tidak suka menggunakan perkataan ‘sakit’ atau yang seumpamanya.

“Walaupun jaraknya hanya selebar tayar, hakikatnya dia adalah pemenang dan kita harus menghormati lawan kita,” katanya.

Penampilan Shah Firdaus dalam ACC kali ini dihantui dengan kecederaan lutut kanan yang masih belum pulih sepenuhnya tetapi tetap berjaya menyumbang pingat buat skuad berbasikal trek negara.

sumber:- BH

Selain perak acara keirin, dia sebelum ini meraih gangsa acara pecut elit lelaki serta perak dalam acara pecut berpasukan.