Selangor FC boleh dianggap hanya menunggu masa untuk menjulang trofi Piala Cabaran, sekali gus menamatkan kemarau hampir 10 tahun tanpa kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Kali terakhir Selangor menjulang trofi dalam Liga M adalah ketika menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 pada 2015.
Justeru, Gergasi Merah tidak akan membenarkan PDRM FC untuk mencipta kebangkitan dalam perlawanan akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi membawa bekalan satu gol hasil kemenangan 3-2 dalam aksi pertama yang berlangsung di gelanggang sama, Sabtu lalu.
Meskipun akan turun sebagai pasukan pilihan dan memiliki kelebihan, Kinoshi bagaimanapun menuntut barisan pemainnya untuk memberi fokus terbaik dan menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit.
“Kita sudah ada strategi tersendiri pada perlawanan akhir nanti dan kalau pada aksi final pertama kita bermain dengan 10 orang untuk tempoh lebih 80 minit, kali ini saya harap kita kekal dengan 11 pemain.
“Kalau boleh saya juga mahu pemain fokus dengan corak permainan yang diterapkan dan elakkan daripada serangan balas pantas pasukan lawan atau memberikan sepakan penalti kepada mereka.
“Lebih penting, kita harus tamatkan perlawanan pada masa sebenar agar perlawanan tidak diheret hingga ke penentuan penalti,” katanya pada sidang media di Stadium MBPJ, hari ini.
Selangor akan turun tanpa kelibat kapten mereka, Safuwan Baharudin selepas tonggak pertahanan itu dilayangkan kad merah pada perlawanan akhir pertama.
Sementara itu, pemain tengah Gergasi Merah, Nooa Laine yang mungkin di berikan peranan sebagai kapten dalam perlawanan, malam esok menegaskan pasukannya akan memberikan aksi terbaik di atas padang.
“Kita hanya ada kelebihan satu gol dan saya mahu rakan sepasukan beraksi seperti biasa dengan fokus memburu kemenangan dan menambah sebanyak gol yang boleh,” katanya.