sukan

Saya rasa benda itu tidak sahih — Pemilik Kedah

Pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memaklumkan pasukan itu berdepan tunggakan gaji hampir 10 bulan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan selain turut membuat bayaran pendahulu bagi membantu pemain menanggung keperluan mereka.

“Kita masih lagi tertunggak hutang yang banyak, hampir mencecah 10 bulan. Untuk kita memberikan sedikit ketenangan kepada pemain, kita cuba (bayar) secara pendahulu apa yang kita mampu.

“Bukan (bayar) 10 bulan gaji, tapi ada sedikit bayaran untuk meneruskan kehidupan seperti mana paling minimum untuk mereka menanggung keperluan.

“Gaji masih tertunggak dan kita sedang buat perancangan habis-habisan untuk cuba menyelesaikan apa saja yang tertunggak dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman BE ONE Network Sdn Bhd sebagai rakan strategik baharu KDA FC dan juga memperkenalkan tiga dua kelab itu bagi musim 2025/2026, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Daud turut menafikan laporan bahawa KDA FC akan terkubur atau turun ke liga lebih bawah musim depan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa pihaknya bertekad dan komited untuk memastikan Sang Kenari kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

“Banyak pihak yang membuat andaian dan kami popular dalam tiga atau empat minggu ini. Ia (laporan) kata tiga pasukan, gambar Kedah (jadi) hiasan. Jadi tidak adil, Kedah dianggap sebagai gambar hiasan yang murahan.

“Apa perasaan pemain, pegawai dan juga penaja kami. Saya rasa benda itu tidak sahih, tak perlu diwar-warkan sampai jatuhnya moral dan jiwa perjuangan bola sepak ini.

sumber:- BH

“Itu adalah ciptaan, rekaan pihak tertentu yang menghebohkan. Kami tidak pernah menghantar surat kepada mana-mana pihak dan kami ingin bersama dalam Liga Super setakat mana yang mampu,” katanya.