Ketika ini angin kencang bertiup cukup kuat mengaitkan nama Ferdy Druijf sebagai bintang warisan dari Belanda yang didakwa bakal menyertai skuad Harimau Malaya.
Difahamkan, Druijf hanya tinggal selangkah untuk memperkuatkan skuad kendalian Peter Cklamovski di mana segala dokumentasi mengenai pemain itu sudah diselesaikan.
Malah, kehadiran pemain berusia 28 tahun itu juga bakal menyelesaikan masalah ketumpulan jentera hadapan pasukan yang selama ini menjadi isu utama babitkan skuad negara.
Terdahulu pada Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif skuad Harimau Malaya, Rob Friend mengesahkan pemain berdarah warisan dari Belanda akan memperkuatkan pasukan kebangsaan menjelang pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan.
Friend menjelaskan kehadiran pemain warisan baharu ini akan membantu barisan kejurulatihan memiliki lebih banyak pilihan untuk memantapkan pasukan bagi aksi penting itu nanti.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang untuk Kelayakan Piala Asia 2027 dengan mempunyai pilihan yang lebih luas,” kata Friend bulan lalu.
Berdasarkan rekod Druijf, pemain berketinggian 1.90 meter ini cukup lincah dan versatil di posisi hadapan sekali gus boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama.
Druijf ketika ini beraksi buat kelab Liga Austria, Rapid Vienna selepas tamat tempoh pinjaman bersama kelab Liga Utama Belanda, PEC Zwolle.
sumber:- HM
Lebih mengujakan, sekiranya pemain terbabit beraksi bersama skuad Harimau Malaya kemungkinan menjadi tonggak paling mahal iaitu dengan tanda harga 1 juta Euro (RM5.13 juta).