Ketua jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-ha menegaskan kesilapan individu menjadi punca utama kekalahan 2-5 pasukannya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Tae-ha menambah pemainya patut menyalahkan diri sendiri apabila terkeluar daripada kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur dengan hanya mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Katanya, kelab Korea Selatan itu berjaya menyaingi kekuatan Harimau Selatan malah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Lee Hojae pada minit ke-27 Sebelum Oscar Arribas tampil menyamakan kedudukan, 10 minit kemudian.
“Dalam perlawanan terakhir ini, kami cuba melakukan sebaik mungkin namun kesilapan individu menjadi punca utama kami tewas pada perlawanan ini.
“Taktikal yang diterapkan tidak mempunyai masalah, namun apabila sudah ketinggalan, kami bergelut untuk bangkit. Walaupun pemain menunjukkan semangat juang tinggi dengan menyerang hingga minit akhir, kami tak mampu untuk baiki kesilapan itu,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali berusia 56 tahun itu kesal dengan tindakan beberapa individu yang tidak dikenali membakar bunga api di luar hotel penginapan skuad Pohang Steelers yang didakwa mengganggu pemaimnya tidur dan mendapat rehat mencukupi.
“Saya ingin ceritakan apa yang berlaku di hotel kami, malam tadi (kelmarin). Ini kerana ada segelintir individu yang bermain bunga api di luar hotel kami menginap untuk mengganggu tidur pemain kami sepanjang malam, ia berlaku antara 11 malam hingga 5 pagi.
“Apapun, ia bukanlah punca utama kami tumpas dalam perlawanan itu, tapi saya perlu hebahkan perkara ini. ACLE adalah pertandingan berprestij, salah satu kejohanan antarabangsa di bawah kalendar Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).
sumber:- BH
“Jadi, kita perlu bertanding secara baik dan profesional, perlu menghormati dan memahami lawan. Tak perlu buat provokasi. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku,” katanya.