sukan

Arif Aiman Hanapi semakin ‘mendonia’

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi semakin ‘mendonia’ di pentas antarabangsa apabila mengumpul lima gol dan dua bantuan jaringan daripada lapan perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) setakat ini.

Jaringan pemain berusia 22 tahun itu cukup membuatkan penyokong bola sepak Asia kagum memandangkan hanya kurang satu gol berbanding tonggak utama Al-Nassr Cristiano Ronaldo yang merekodkan enam gol di pentas ACLE.

Malah, jika Arif Aiman diberikan peluang untuk menyumbat gol menerusi sepakan penalti pada pertemuan menentang Pohang Steelers semalam sudah pastinya dia dan Ronaldo boleh dianggap sama taraf.

Berdasarkan kepada statistik terkini, pemain Gwangju, Jasir Asani, kini mendahului senarai penjaring dengan tujuh gol diikuti Salem Al-Dawsari (Al-Hilal) dengan enam gol berkongsi jaringan bersama penyerang Yokohama F Marinos, Anderson Lopes dan Ronaldo.

Pemain lincah JDT itu pula berkongsi jumlah jaringan dengan pemain Al Hilal Aleksandar Mitrovic dan penyerang Al Fateh Matias Vargas.

Skuad Harimau Selatan meraih kemenangan penuh bergaya apabila membenam kelab dari Korea Selatan Pohang Steelers 5-2 pada perlawanan terakhir ACLE yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam semalam.

Arif Aiman antara yang mencetak nama sebagai penjaring gol selain Bergson da Silva, Oscar Arribas dan Jese Rodrigue turut menyumbang jaringan manakala Jorge Obregon menyumbang gol menerusi sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa kedua.

Tonggak muda JDT itu berpeluang untuk menambah koleksi jaringan di pentas ACLE apabila bakal bertemu pasukan dari Korea Selatan Gwangju di pusingan 16 terbaik.

sumber:- HM

Mengikut rekod, pada musim lalu menyaksikan Arif Aiman yang juga tonggak skuad Harimau Malaya menyumbang tiga jaringan dan dua bantuan gol di pentas ACLE.