Demi mahu mengulangi persembahan terbaik, antara pemain tengah yang memiliki bakat, Danial Amier Norhisham, tekad membuktikan keupayaan dirinya meskipun disisihkan daripada skuad utama Johor Darul Ta’zim (JDT), sebelum ini.
Pemain berusia 27 tahun itu pernah menjadi antara nama besar dalam skuad kebangsaan yang mempunyai peranan selaku jeneral yang kerap mengawal bahagian tengah memberi kesukaran kepada pihak lawan.
Penampilan semula dalam pasukan Harimau Malaya sewaktu menyertai Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 tahun lalu memberi nafas baru buat dirinya untuk terus mempamerkan aksi terpuji.
“Satu keputusan yang sukar untuk keluar daripada JDT demi mendapatkan minit permainan.“Tapi Alhamdulillah, terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana memberi peluang merestu perpindahan ke Kuching City untuk mendapatkan kembali prestasi sebenar.
“Satu cabaran dan perkara baru. Tidak pernah terfikir untuk berada di Sarawak.“Tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Bantuan daripada ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, dan rakan sepasukan sangat memudahkan,” katanya dalam segmen Pemain Eksklusif Nadi Arena.
Ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Danial Amier, menceritakan detik awal kepada kelahiran kariernya yang menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.
Katanya, namanya mula didengari oleh Datuk Ong Kim Swee untuk disenaraikan dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) disebabkan individu yang disegani dalam arena bola sepak kebangsaan.
“Saya sangat terhutang budi dengan mendiang B. Sathianathan kerana dialah pencetus kepada permulaan karier saya bermain untuk skuad kebangsaan.
sumber:- stadium astro
“Dia banyak membantu saya dan membuka ruang buat bekas pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee, melihat permainan saya semasa bermain di Felda United,” tambahnya