Ketua jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-ha meletakkan sasaran tinggi memburu kemenangan apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Tae-ha berkata, perlawanan itu nanti penting buat pasukannya yang mahu meletakkan diri dalam lapan pasukan terbaik Zon Timur dan menjaga reputasi kelab.
Katanya, fokus utama adalah menewaskan JDT walaupun rekod pertemuan pada 2021 menyaksikan mereka menang dua kali ke atas kelab dari Malaysia tapi semua itu sudah menjad sejarah.
Pohang Steelers menewaskan JDT 4-1 pada 28 Jun 2021 dan menang kali kedua 2-0 pada 1 Julai 2021.”Kami enggan melihat dua kemenangan lalu ke atas JDT, sebaliknya rekod berkenaan sudah menjadi sejarah dan aksi pada malam esok lebih mencabar buat kami kerana beraksi di gelanggang keramat jaguh bola sepak Malaysia itu.
“Walaupun kami tewas kepada Kawasaki Frontales 4-0 dalam saingan ACLE dan tumpas kepada Daejeon Hana 3-0 dalam saingan liga domestik, ia sedikit mengecewakan namun memberi pengajaran untuk kembali bangkit.
“Saya percaya kami akan beri persembahan terbaik malam esok, ini kerana barisan pemain tampak begitu semangat apabila melakukan persiapan yang rapi malah kami juga sudah ada pengganti yang akan beraksi di posisi Jonathan (Aspropotamitis) yang digantung akibat kad merah,” katanya.
Ditanya mengenai pemain JDT yang perlu diawasi dalam perlawanan itu nanti, Tae-ha mengakui kesebelasan utama lawan yang bakal diturunkan memiliki kualiti permainan yang tinggi dan gemar bermain secara pantas.
“Saya perlu awasi pemain bernombor 9 (Bergson da Silva) dan pemain bernombor 30 (Natxo Insa) yang menjadi figura dalam pasukan itu kerana kedua-dua pemain sentiasa beri impak dan menjadi pencetus kebangkitan JDT,” kata Tae-ha.
sumber:- BH
Sementara itu, pemain tengah Pohang Steelers, Han Chan-hee menegaskan kesemua pemain tampak bersedia untuk berdepan JDT dan mengetepikan apa jua kekalahan yang dialami baru-baru ini dalam usaha mengintai peluang layak ke pusingan seterusnya.