Skuad badminton negara memulakan kempen di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China dengan langkah kiri apabila dikejutkan 3-2 oleh Hong Kong, semalam.
Pada perlawanan pembukaan Kumpulan B yang berlangsung di Pusat Sukan Qingdao, China itu, skuad negara boleh dikatakan seperti ‘terperangkap’ dengan percaturan Hong Kong yang jelas menyenaraikan barisan terkuat pada perlawanan keduanya.
Tidak seperti kekalahan 5-0 kepada Indonesia kelmarin, Hong Kong yang dikemudi beberapa jurulatih negara termasuk Wong Choong Hann melakukan perubahan terutama dalam acara beregu campuran dan perseorangan lelaki yang jelas membuahkan hasil.
Seperti tidak mengendahkan kemampuan pasangan beregu campuran utama Hong Kong yang dikemudi pemain berpengalaman Tang Chun Man dan gandingan baharunya, Ng Tsz Yau, Malaysia menyenaraikan ketua pasukan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin untuk memulakan cabaran negara.
Begitupun, percaturan itu jelas memakan diri apabila beregu ranking 15 dunia itu tunduk kepada pasangan Hong Kong 21-17, 17-21, 11-21 dalam tempoh 59 minit.
Selain Pang Ron-Su Yin, skuad negara seperti diketahui turut diisi pasangan ranking empat dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tetapi mereka tidak diturunkan.
Tersentak dengan kekalahan itu, Malaysia bangkit dan memperoleh mata pertama menerusi perseorangan wanita, K Letshanaa yang berjaya mengalahkan S Mehta dalam aksi straight set 21-18, 21-18.
Begitupun, kekalahan pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu kembali meletakkan negara ketinggalan 2-1.
Berdepan Cheuk Yiu yang juga pemain ranking 21 dunia, Justin yang mengisi ranking 53 dunia tewas straight set, 19-21, 16-21 dalam tempoh 46 minit.
Dan seperti dijangka, Hong Kong mengesahkan kemenangan menerusi beregu wanita utama mereka, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam yang jelas tidak mampu dicabar wakil negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.
Mengisi ranking 13 dunia, gandingan Nga Ting-Pui Lam jelas bukan tandingan Pei Kee-Mei Xing yang menghuni ranking 48 dunia dan menang dengan keputusan 17-21, 14-21 dalam tempoh 50 minit.
Malaysia kemudian seperti dijangka meraih kemenangan dalam acara beregu lelaki dengan juara Masters Indonesia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mudah menewaskan wakil Hong Kong, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai dalam aksi straight set 21-13, 21-11 dalam tempoh 27 minit.
Kekalahan meletakkan Malaysia dalam situasi sukar kerana mereka kini wajib menundukkan Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B jika mahu mara ke pusingan seterusnya.
sumber:- BH
Sebagai rekod, sejak kejohanan dwitahunan ini mula dipertandingkan pada tahun 2017, keputusan terbaik Malaysia adalah di peringkat suku akhir dengan BAMTC turut bertindak sebagai kelayakan ke Piala Sudirman yang dijadual pada April depan.